Situasi
Hari ini aku dan beberapa orang teman telah ke sekolah Menengah Slim River untuk menjalankan rancangan pengajaran makro. Sampai di sana kami terus ke bilik pengetua untuk memberitahu akan kehadiran kami. Selepas itu kami terus menuju ke bilik guru yang telah kami sedia maklum kerana pada minggu sebelumnya kami telah ke sekolah tersebut untuk memohon kebenaran pengetuanya. Pada mulanya aku agak risau memikirkan bagaimana layanan guru-guru di situ terhadap kami. Sampai di bilik guru kulihat ada beberapa orang guru yang sedang membuat kerja mereka dan beberapa lagi sedang berborak sesama mereka. Melihat kehadiran kami mereka terus melemparkan senyuman kepada kami bersama sapaan mesra. Akhirnya terubat kerisauanku . Ketika kami sedang berjalan menuju ke kelas, kuperhatikan pelajar-pelajar di sekolah itu mempunyai budaya murni dalam diri mereka. Apabila terserempak dengan kami dan guru-guru lain, ucapan salam pasti meniti di bibir-bibir mereka bersama senyuman. Aku dan teman masing-masing memuji budaya yang ditunjukkan oleh warga sekolah ini. Sesungguhnya aku akui warga sekolah ini telah terlatih dengan budaya mesra, sopan santun dan baik bahasanya.
Tinta bicara
Sifat ramah mesra dan penggunaan bahasa yang sopan seperti memberi salam sesama manusia amat dituntut dalam agama kita. Penggunaan bahasa yang mesra dan bersopan dengan siapa sahaja kita bertutur walaupun tidak mengenalinya sebenarnya dapat mewujudkan pandangan atau persfektif positif terhadap masyarakat lain. Di samping itu bahasa yang mesra juga boleh membuatkan orang lain menyenangi diri kita. Orang yang mempunyai nilai baik ini dalam diri sentiasa dihormati dan disukai oleh pihak lain. Oleh itu amalkanlah menggunakan bahasa yang baik dengan sesiapa dan di mana sahaja kita bertutur untuk keharmonian dan kebaikan kita bersama.
No comments:
Post a Comment