Saturday, March 12, 2011

PAPAN TANDA

Situasi                                                             
Aku telah diberitahu oleh rakan-rakan bahawa Tambun adalah salah sebuah destinasi percutian yang sangat seronok.  Menurut rakan-rakan yang pernah bercuti ke sana, di dalamnya terdapat pelbagai permainan air, mini zoo dan kolam air panas hasil ciptaan manusia. Daripada keseronokan yang digambarkan oleh mereka membuatkan keinginanku untuk ke sana semakin ketara.  Pada minggu yang lalu, keinginanku ini telah tercapai apabila insan tersayang telah membawaku ke sana. Walaupun kami berdua tidak pernah menjejaki kaki ke sana tetapi alhamdullillah dengan berpandukan papan tanda yang disediakan  di sepanjang jalan raya, kami berjaya sampai ke sana dengan mudah tanpa mengalami sebarang kesulitan atau kesesatan.
                                            
                                                             


Tinta bicara
Bahasa ialah satu bentuk komunikasi, sama ada bercakap, bertulis atau menggunakan simbol. Berdasarkan  situasi yang saya paparkan tadi, sebenarnya saya ingin menjelaskan bahawa simbol atau tulisan yang terdapat pada papan tanda juga merupakan sejenis bahasa komunikasi. Seringkali kita perhati pada papan-papan tanda yang mengandungi simbol atau tulisan yang hanya menggunakan ayat-ayat yang ringkas yang kebiasaannya  dilihat di sepanjang jalan raya atau tempat-tempat awam lain. Biasanya maksud yang ingin disampaikan melalui papan tanda atau simbol-simbol ini   dapat difahami   oleh pengguna walaupun tidak dinyatakan dalam bentuk lisan atau tulisan yang menggunakan ayat yang lengkap dan gramatis. Contohnya yang paling jelas untuk kita lihat ialah penggunaan lampu isyarat di jalan raya. Pernahkah anda melihat lampu isyarat yang tertulis padanya warna hijau  menandakan anda boleh berjalan, warna kuning anda harus berjaga-jaga dan warna merah anda mesti berhenti. Pernahkah  maksud bagi warna-warna ini  disampaikan malalui rakaman suara atau audio? Tidak bukan? Walaupun tidak disampaikan secara lisan atau tulisan tetapi boleh difahami maknanya oleh setiap pengguna jalan raya melalui penggunaan simbol warna tersebut. Begitu juga dengan simbol-simbol lain   seperti arahan, larangan sebagai panduan kepada kita. Dengan itu jelaslah bahawa simbol juga tergolong dalam bahasa walaupun tidak disampaikan secara lisan atau tulisan asalkan ianya mampu memberi makna kepada manusia. 
                             






                            

No comments:

Post a Comment