Monday, March 14, 2011

KEMESRAAN DI SEBALIK KEBIADABAN

Situasi
Semasa dalam kelas keterampilan penulis hari ini aku terkejut apabila teman baik yang berada di sebelahku menghantar mesej kepada adiknya yang berada di kampung dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan dan kasar bunyinya. Di bawah ini aku lampirkan mesej yang dihantar oleh temanku itu.


             Bodoh, bengong tengah buat apa?                           


Hairan aku dibuatnya. Mustahil rakan yang telah lama kukenali berbahasa kasar sedemikian. Sepanjang aku mengenalinya dia sentiasa menjaga tutur bicaranya, seingat aku, aku tidak pernah terasa hati disebabkan sikap atau bicaranya. Pada mulanya aku beranggapan mungkin temanku bergaduh dengan adiknya. Tetapi apa yang menghairankan daripada raut wajah temanku tidak sedikitpun  menunjukkan sebarang tanda-tanda seperti  dilanda krisis, malah dia kelihatan tersenyum dan ceria. Kehairananku berlipat ganda apabila dua minit kemudian adiknya  membalas mesej yang dihantar temanku menggunakan bahasa yang sama kasar seperti mana rakanku tadi.

Hehe bangang  aku tak buat apapun. Awat hg rindu kat aku ka?

Aku sangka temanku akan marah melihat mesej yang berbaur kasar  sedemikian. Tambahan pula adik sendiri yang sepatutnyamenghormatinya tetapi berbahasa kurang ajar dan agak biadap seperti itu. Tetapi sangkaanku meleset  100%. Tidak secalit pun wajah marah terpampang diwajah temanku, malah dia tersenyum. Keliru juga aku memikirkan kelakuannya. Kelihatan pelik tapi benar apa yang kulihat mungkinkah rakanku ini sudah tidak waras fikirku ketika itu. Tetapi setelah aku meminta penjelasannya, barulah aku tahu keadaan yang sebenar rupa-rupanya sudah menjadi kebiasaan dia dan adiknya berbahasa sedemikian.  Walaupun nampak agak kasar tetapi disebalik kekasaran itulah yang membuatkan hubungan antara mereka semakin mesra dan akrab. Kadang-kala kata-kata ini bagi mereka lebih kepada bersifat gurau senda dan tersirat unsur humor.
       

Tinta bicara
Kadang-kala sesuatu bahasa yang kita ujarkan sehari-hari  boleh memberi satu perspektif yang negatif  terhadap si pendengar walaupun  maksud sebenar yang ingin  disampaikan sama sekali tidak melambangkan seperti apa yang difikirkan oleh si pendengar.  Namun kita harus sedar kadangkala  ada segelintir masyarakat kita yang  menggunakan ragam bahasa yang kelihatan agak kasar pada dasarnya, tetapi  bagi mereka kebiasaan  ragam bahasa sedemikian itu sebenarnya adalah lebih mesra antara mereka. Contohnya masyarakat yang berasal dari Melaka, jika kita lihat kebiasaan mereka akan menggunakan bahasa yanga agak kasar apabila bertemu dengan sahabat yang sudah lama tidak dijumpai. Contoh ayat  yang sering  mereka gunakan seperti:

“celake kau. Lame tak jumpe. Kau buat ape sekarang”

Masyarakat lain yang mendengar bicara antara mereka sudah pasti akan timbul perspektif  negatif. Namun bagi mereka ragam bahasa sedemikianlah yang membuatkan hubungan  persahabatan antara mereka lebih mesra. Jadi kesimpulannya kita tidak boleh bersalah sangka  atau memandang negatif kepada semua orang yang menggunakan bahasa kasar dalam pertuturan mereka kerana mungkin  persekitaran mereka yang menentukan cara atau ragam bahasa  yang sedemikian. Kadang-kala apa yang ingin disampaikan atau maksud sebenar yang tersirat daripada pertuturan yang kelihatan kasar itu berbeza dengan apa yang kita fikirkan.





No comments:

Post a Comment