Situasi
Memandangkan hari ini adalah hari sabtu. Seperti kebiasaannya kebanyakan pelajar-pelajar UPSI akan berkunjung ke pasar malam Tanjung Malim yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka. Seminggu kepenatan berkuliah di samping lambakan tugasan yang begitu memenatkan kadangkala memerlukan pelajar-pelajar merehatkan diri, beriadah, berjalan-jalan atau bergembira bersama teman-teman bagi menghilangkan tekanan dalam diri. Oleh itu, aku mengambil peluang ini bersama-sama teman berkunjung ke pasar malam tersebut walaupun destinasi kami itu bukanlah destinasi yang menarik seperti tempat-tempat percutian tetapi cukup sekadar dapat melihat pelbagai ragam manusia yang terdiri daripada segenap lapisan yang kadangkala menghiburkan hati di samping dapat membeli pelbagai juadah yang dijual. Aku bukanlah mahu menceritakan suasana pasar malam sebenarnya tetapi mahu berkongsi dengan anda semua mengenai satu situasi yang begitu mencuit hatiku. Situasi berlaku ketika aku sedang menunggu dua orang rakanku membeli jagung rebus di salah sebuah gerai di situ, aku dipertontonkan dengan satu kejadian antara si anak yang masih kecil bersama bapanya. Berikut adalah perbualan antara mereka:
Anak : yah nak udok yetih la.
Ayah : mana ada tempat udok kat cini. Ayah ukung ye.
Anak : ak nak (sambil menggeleng kepala)
Ayah : kalau tak nak syifa berjalan ye. Kejap je nanti kita alik rumah.
Anak : ayah nk uwit nk beyi nak beyi ….tucing miaww tu. (sambil menunjuk tangan ke arah gerai yang menjual mainan kanak-kanak)
Tinta bicara
Seronok bukan bila mendengar kanak-kanak bertutur. Biasanya bahasa yang mereka tuturkan masih belum fasih, tergagap-gagap dan mengikut telor atau pelat mereka sendiri. Kadangkala bahasa yang mereka gunakan tidak difahami oleh orang-orang yang lebih dewasa melainkan ibu bapa atau mereka yang mempunyai hubungan erat dengan kanak-kanak tersebut. Sebenarnya factor persekitaran kanak-kanak tersebut yang menentukan gaya bahasa kanak-kanak. Sebaiknya ibu bapa haruslah menggunakan bahasa yang betul seperti kosa kata yang tepat tetapi pemilihan kosa kata tersebut haruslah berpadanan dengan umur dan tahap pemahaman anak-anak mereka. Ibu bapa atau guru haruslah memperbaiki kesalahan kosa kata yang disebut oleh kanak-kanak dengan menggunakan kosa kata yang betul agar kanak-kanak tersebut boleh memperbaiki dan mengujar dengan betul. Namun begitu sesuatu yang menjadi permasalahan hari ini, kebanyakan ibu bapa hanya membiarkan sahaja anak-anak mereka bertutur dengan pelat mereka sendiri kerana menganggap tiada kesalahan bagi kanak-kanak yang masih kecil bertutur sedemikian. Malah lebih malang lagi, bukan sahaja ada sesetengah ibu bapa yang tidak membetulkan kesalahan anak-anak mereka, tetapi mereka sendiri pula yang meniru cara pertuturan anak-anak kecil mereka dengan menggunakan telor dalam sebutan kosa kata tertentu. Sudah terbalik bukan keadaan ini? Sepatutnya kanak-kanak meniru atau mempelajari tutur kata yang betul daripada ibu bapa, tetapi sebaliknya hari ini ibu bapa pula yang meniru tutur bicara mengikut pelat kanak-kanak. Jadi bagaimana pembelajaran menggunakan bahasa dan sebutan yang tepat dalam kalangan kanak-kanak akan berlaku sekiranya ibu bapa sendiri membuat tindakan yang salah. Fikir-fikirkan lah.
No comments:
Post a Comment