Situasi
Minggu ini kolej kediamanku telah menganjurkan satu pesta buku yang bertempat disekitar kolejku sendiri. Banyak gerai dibuka yang pastinya akan menggembirakan pelajar-pelajar disini. Sesuatu yang menghairankanku ialah kebanyakan gerai tersebut lebih didominasi oleh gerai-gerai pakaian, tudung, beg dan sebagainya yang lebih kepada barangan wanita berbanding gerai buku walaupun pada dasarnya pesta ini adalah pesta buku. Mungkin ini adalah satu cara bagi menarik pengunjung datang ke pesta tersebut. Semasa pesta ini berlangsung, aku dan dua orang teman tidak ketinggalan untuk mengunjungi pesta ini. Memandangkan kami tidak lama lagi disini kerana pada semester depan kami akan menjalani praktikum di sekolah, jadi kami mengambil peluang yang ada untuk menikmati kemeriahan di kolej kediaman selagi kami masih menjadi penghuni di sini. Boleh dikatakan setiap gerai kami kunjungi walaupun tidak membeli barang tetapi cukup menghiburkan sekadar melihat-lihat barangan yang dijual beserta ragam-ragam manusia. Gerai terakhir kami kunjungi pada malam itu ialah sebuah kedai yang menjual kain kurung dan tudung muslimah yang berada berdekatan dengan kafe. Kain-kain disitu nampaknya agak cantik. Aku dan teman memilih-milih kain yang menarik hati masing-masing. Kelihatan seorang lelaki muda di dalam gerai tersebut dan aku pasti dia adalah pemilik gerai itu. Sambil memegang sepasang kain yang mungkin telah menjadi pilihan hati, temanku bertanya akan penjual kain tersebut.
A : bang kain ni harganya berapa sehelai?
B : (tersenyum sambil menjawab dengan nada yang lembut) rm 15 je dik
B : tapi kalau adik beli 3 helai abang kasi rm 50 je
A : buat ape nak beli banyak-banyak. Satu cukup lah.
B : belilah boleh kasi mak sehelai. Tak pun kongsilah dengan kawan-kawan.
Lagi pun kain ni cantik kalau adik-adik ni pakai mesti lagi cantik.
A : ayat tak bleh blah nak suruh orang beli lah tu
B : eh tak de lah. Betul abang cakap.
Akhirnya kawanku hanya membeli sehelai sahaja. Sebelum kami beredar dari gerai tersebut, penjual tadi sempat menyuruh kami menyampaikan salam kepada ibu di kampung.
Tinta bicara
Kebiasaannya, penjual akan menggunakan ritorik pemujukan bagi melariskan jualan mereka. Pelbagai kata-kata manis diujarkan termasuklah kata-kata pujian. Namun pada kali ini aku bukanlah ingin membicarakan mengenai aspek ritorik, tetapi aku tertarik untuk berkongsi mengenai kata sapaan atau panggilan yang digunakan oleh temanku. Kata sapaan ‘abang’ yang digunakan itu membuatkan aku teringat kembali kata-kata Prof. Ameritus Abdullah Hassan dalam ucapannya bersempena majlis Wacana Ilmu Bahasa Melayu Tinggi yang telah berlangsung pada minggu lepas. Dalam ucapannya, beliau turut membincangkan mengenai salah satu aspek penting yang menjelaskan cirri bahasa melayu tinggi iaitu mengenai bentuk sapaan. Istilah sapaan ini dikatakan oleh Za’ba sebagai pemadan taraf. Menurut beliau adalah sesuatu yang salah dan boleh dianggap maha biadap sekiranya kita menggunakan kata sapaan atau gelaran dengan sewenang-wenangnya kepada seseorang tidak kira dimana atau dengan siapa sahaja kita bertutur tanpa mengetahui status atau pangkat yang disandang seseorang itu. Maha biadap yang dimaksudkan ialah kadangkala kata sapaan abang atau kakak yang kita gunakan kepada seseotang eperti kita telah menyama tarafkan orang tersebut dengan diri kita. Bagaimana sekiranya orang yang kita gelar abang itu merupakan seorang ‘dato’? biadap bukan? Sebaiknya kita bertutur dengan menggunakan bahasa melayu tinggi dengan mengujarkan kata sapaan kepada seseorang yang kita tidak kenali dengan panggilan encik, tuan atau saudara. Panggilan abang atau kakak adalah salah sebenarnya dipanggil kepada mereka yang bukanlah mempunyai ikatan kekeluargaan dengan kita walaupun kadangkala sapaan ini nampak lebih mesra. Begitu juga jika seorang wanita menggelarkan kepada seorang lelaki yang tidak dikenalinya dengan panggilan ‘abang’ yang nampaknya kurang manis. Menurut kata Prof. Ameritus Abdullah Hassan panggilan ini ‘abang ‘ ini sebenarnya telah memberi ‘tiket’ atau peluang untuk kaum ini menggatal. Oleh itu untuk mengelakkan perkara ini amalkanlah penggunaan bahasa Melayu tinggi apabila berbicara. Gunakanlah panggilan saudara atau encik.Walaupun ianya nampak agak formal tetapi itulah yang terbaik demi kebaikan bersama.
No comments:
Post a Comment