Situasi
Situasi ini berlaku ketika aku berada dalam kedai UV Art untuk mencetak tugasanku yang akan dihantar pada esok harinya. Ketika aku menunggu percetakan itu selasai, aku sempat melihat satu situasi di mana dua orang lelaki bertemu justeru bersalaman. Aku juga berpeluang mendengar perbualan antara mereka walaupun bukan niatku untuk mencuri dengar. Namun disebabkan situasi tersebut berlaku di hadapanku, jadi ku berpeluang mendengarnya. Berikut merupakan perbualan antara mereka:
A : Eh, Lame tak jumpe ko sihat ke?
B : Sihat. Aku praktikum sekarang ni.
A : Ooh patutlah, ko praktikum kat ner?
B : dekat-dekat sini jer. KKB (Kuala Kubu Baru)
A : dekat je tu. Bis ko buat ape kat sini?
B : ni ha aku nak print surat ni. Nak tunjukkan pada pensyarah.
A : Yeke. Bagus-bagus. ok lah aku pun datang print tugasan. Ni dah setle dah.
K lah aku cau dulu, nanti jumpa lagi. Assalamualaikum kawan (bersalaman sambil beredar).
Tinta Bicara
Berdasarkan situasi tersebut ingin aku jelaskan bahawa penggunaan bahasa bukan sahaja semata-mata berfungsi sebagai alat perhubungan asas, tetapi sebagai alat yang menjamin pengekalan hubungan yang sedia terjalin di antara ahli-ahli dalam masyarakat, sama ada dalam usaha untuk mengeratkan lagi perkaitan yang telah wujud, atau untuk menegaskan pertalian dalam susunan tertentu. Sebagi contoh, perhatikan apakah yang akan berlaku apabila dua individu bertemu. Pada saat pertemuan itu mereka bertegur sapa, iaitu dengan melafazkan kata-kata tertentu yang telah menjadi kebiasaan masyarakat masing-masing, seperti ‘assalamuaikum ‘ , ‘apakhabar?’ , ‘hendak ke mana?’ atau “selamat pagi’. Kadang-kadang perlakuan verbal ini disertai gerak geri tertentu, seperti bersalaman, lambaian tangan, dan sebagainya. Ungkapan-ungkapan ini mempunyai jawapannya yang juga telah ditetapkan oleh peraturan atau konvensi masyarakat. Jika diteliti ungkapan bertegur sapa ini jelas bahawa tidak ada sesiapa memberi perhatian yang serius kepada maknanya. ‘apa khabar’ misalnya akan menerima ‘khabar baik’ sebagai jawapan, walaupun diri orang yang bercakap itu tidak begitu sihat. Unsur kebenaran tidak penting di sini, dan fungsi bahasa bukan lagi sebagai alat untuk menyampaikan maklumat. Sebaliknya bahasa di sini berberfungsi sebagai alat yang menyatakan wujud perhubungan antara dua pihak, dan bahawa penggunaannya telah memperbaharui serta menguatkan lagi perhubungan yang sedia ada ini. Isi kandungan percakapan atau maknanya tidak sepenting hakikat bahawa individu-individu yang terlibat telah bercakap atau bertegur sapa kerana melalui penggunaan bahasa itu membuatkan wujudnya hubungan silaturrahim antara mereka. Oleh itu jelaslah penggunaan bahasa sangat penting dalam masyarakat yang berfungsi sebagai alat perhubungan asas dan mampu menjamin pengekalan hubungan sesama insan. Di sini dapat kita lihat betapa indahnya hakikat bahasa kerana bahasalah yang dapat menyatukan kita semua.
No comments:
Post a Comment