Saturday, March 12, 2011

BAHASA MELAYU TINGGI

Situasi
Aku rasa bertuah kerana pada hari ini aku berpeluang menghadiri satu majlis Wacana Ilmu Bahasa Melayu Tinggi yang disampaikan oleh Profesor Ameritus Abdullah Hassan. Walaupun majlis ini mengambil masa yang singkat namun bagiku majlis ini sangat menarik kerana input yang diberikan oleh Profesor Abdullah kepada kami yang rata-ratanya adalah bakal guru adalah sangat bermakna dan padat dengan ilmu. Beliau juga sangat bijak menarik perhatian audien dengan diselitkan unsur-unsur humor dalam teks  ucapannya. Ketika majlis itu berlangsung tidak sedikit pun perasaan mengantuk atau bosan menguasai diriku. Aku mendengar setiap kata-katanya dengan penuh khuyuk. Dalam ucapannya beliau sering mengingatkan kami semua sebagai bakal guru perlulah menggunakan bahasa Melayu tinggi bukan sahaja dalam penulisan malah ketika bertutur terutama ketika mengajar di sekolah kelak. Bahasa Melayu tinggi didefinisikan oleh beliau sebagai bahasa sekolah. Selain   berperanan sebagai bentuk bahasa yang diajar di sekolah, bahasa Melayu tinggi juga  harus  dituturkan dalam situasi rasmi. Menurut beliau lagi, bahasa Melayu tinggi adalah bahasa yang merentas waktu, zaman dan daerah geografi kerana bahasanya mudah difahami oleh semua orang yang tahu berbahasa Melayu. Berbicara menggunakan bahasa Melayu tinggi bermakna berbicara dengan bahsa yang lengkap dari semua segi termasuklah aspek tatabahasa,sebutan  istilah, imbuhan, frasa, klausa, ayat dan sebagainya. Banyak lagi ilmu yang terkandung di dalam ceramah beliau iaitu merangkumi gaya kita bertutur, penggunaan kata sendi yang betul termasuklah bentuk prosisi dan bentuk kata sendi. Beliau juga tidak lupa untuk memberi penjelasan mengenai kata sapaan yang sering ditegaskan dalam kelas semasa kuliahnya.


                                                           

Tinta bicara
Ilmu yang disampaikan oleh Prof. Abdullah banyak memberi panduan dan ilmu yang berguna kepada kami semua sebagai bakal guru bahasa suatu hari kelak. Oleh itu penggunaan bahasa Melayu tinggi haruslah dimanfaatkan oleh setiap guru kerana kerjaya sebagai guru adalah satu profesion yang sangat mulia yang diberi pengiktirafan sebagai ‘role model’ kepada pelajar. Jika guru menggunakan bahasa yang rendah sifatnya maka murid juga akan meniru hal yang demikian. Bak kata pepatah guru kencing berdiri, murid pun akan kencing berdiri. Orang yang menggunakan bahsa yang rendah juga akan dipersepsikan oleh orang lain sebagai seorang yang kurang ilmunya dan rendah kedudukan sosialnya. Manakala orang yang berbahasa dengan bahasa yang tinggi dianggap sebagai orang yang berintelek dan lebih diberi kepercayaan dalam sesuatu organisasi.  Oleh itu elakkanlah penggunaan bahasa rendah dalam pertuturan kita. Menurut Prof. Abdullah, orang yang bahasanya rendah kemungkinan  untuknya berapa di tahap rendah sangat besar. Bahasa yang rendah dalam konteks defisit budaya sebenarnya adalah orang yang kurang ajar. Contohnya kita memanggil seseorang yang mempunyai pangkat yang tinggi dalam sesuatu organisasi dengan panggilan yang tidak sepatutnya adalah seperti kita menyamakankan tarafnya dengan kita atau orang lain itu adalah dianggap kurang ajar dan rendah bahasanya.  Menurut Teori pemerolehan bahasa, anak-anak kecil akan menggunakan bahasa yang baik jika mempunyai model bahasa yang baik dalam pertuturan mereka. Oleh itu guru harus memainkan peranan dalam membentuk pelajar-pelajar menggunakan bahasa melayu yang betul. Jika bahasa gurunya baik maka bahasa anak didiknya jua akan baik. Lagi pula bahasa melayu tinggi adalah bahasa yang indah, cantik dan sedap didengar. Bahasa indah bangsa berjaya.

No comments:

Post a Comment