Situasi
Terasa kekeringan idea ketika ini. Apakah yang ingin aku perkatakan dalam blog diari aku kali ini. Hari ini rasanya tiada situasi mengenai bahasa yang menarik perhatianku untuk kukongsikan dalam blog ini. Sementara memikirkan idea untuk kumuatkan, aku mengisi kebosanan ini dengan sebuah lagu yang telah kumuat turun pada bulan lepas. Lagu berjudul kekanda adinda nyanyian Atilia dan Monoloque begitu menarik perhatianku. Sedikit sebanyak lagu ini dapat menghilangkan rasa bosan dan menghiburkan hatiku ketika ini. Mendengar lirik lagu ini telah membuahkan idea mengenai ragam bahasa untukku kongsi dalam blogku kali. Di bawah ini aku ada sediakan video klip untuk anda hayati.
Tinta Bicara
Lirik dalam lagu ini sangat indah dan lunak bahasanya. Istilah ‘kekanda’ dan ‘adinda’ yang digunakan pada judul dan lirik lagu ini sebenarnya yang menarik perhatianku kerana istilah itu sendiri mempunyai nilai sentimen tersendiri yang menggambarkan kasih sayang dalam sesuatu ikatan. Kata ganti diri ini biasanya digunakan oleh masyarakat dahulu dalam perhubungan kekeluargaan. Dalam masyarakat hari ini penggunaannya sudah jarang didengar melainkan digunakan dalam lirik lagu atau surat kiriman tidak rasmi. Namun jika dihayati istilah ini begitu indah dan mesra didengar. Dengan itu jelaslah dalam berbahasa sama ada secara dalam lisan mahupun tulisan, sesuatu istilah yang digunakan kadangkala mampu menonjolkan unsur keindahan yang tersendiri.
No comments:
Post a Comment