Saturday, March 12, 2011

BARU KUTAHU

                                                         

Situasi
Siang tadi aku telah ke Rawang untuk bertemu sahabatku. Semasa aku aku berada di dalam perut komuter untuk menuju ke sana, aku telah dipertontonkan  dengan satu situasi yang berkaitan dengan penggunaan bahasa. Kisahnya bermula begini  setelah beberapa minit  menunggu kehadiran komuter di stesen kereta api Tanjung Malim , akhirnya komuter tiba dan aku terus bergegas masuk ke dalam perut komuter tersebut. Aku memilih kerusi yang berada paling hujung komuter tersebut. Selang beberapa minit selepas itu, muncul  dua orang gadis dari arah pintu belakang komuter tersebut. dari segi penampilan dan lenggok  mereka, aku pasti mereka juga pelajar UPSI sepertiku. Lagi pula mereka juga naik di stesen yang sama denganku. Memang menjadi kebiasaannya pada hujung-hujung minggu, pelajar di sini akan menghabiskan masa cuti mereka dengan bersiar atau membeli belah di Kuala Lumpur. Mereka memilih tempat  duduk bersebelahan dengan kerusi yang ku duduk itu. Agak kuat mereka berborak tetapi aku tidak tahu apa yang diborakkan mungkin menyambung kembali topik yang mereka borak semasa menunggu komuter  sebentar tadi. Yang aku pasti dari loghat yang mereka gunakan itu, mereka mungkin berasal dari negeri-negeri sebelah selatan kerana bunyinya seperti dialek kuala lumpur. Sebelum komuter bergerak kelihatan seorang lelaki datang ke arah mereka dan tersenyum melihat salah seorang antara mereka sambil menegurnya “hang nak pi mana wey tak balik Kedah ka minggu ni?” “ aku nak pi kl la, aku tak balik kot ada reja sikit. Hang pulak nak pi mana?” soal gadis itu kembali. Setelah mendengar perbualan antara mereka baru ku tahu rupanya salah seorang daripada gadis tersebut berasal dari Kedah bermakna sama negeri dengan negeri yang amat kucintai.


                                                         

Setelah tiba di stesen Rawang, aku dan penumpang-penumpang lain bergegas turun. Sementara menunggu rakanku datang menjemput, aku duduk di salah sebuah kerusi yang tersedia di situ. Selang dua buah kerusi yang ku duduk kelihatan seorang mak cik tua yang berpakaian seperti golongan tua yang biasa kita lihat. Berbaju kurung dan bertudung litup. Dia tersenyum kepadaku,aku terus membalas senyumannya. Kemudian dia bertanya kepadaku dengan nada yang mesra “ tunggu siapa nak” “saya tunggu kawan mak cik, mak cik pulak nak gi mana?”soalku kembali. “ mak cik nak balik rumah, tengah tunggu suami mak cik” jawapnya dengan penuh sopan. Sebelum kami meneruskan perbualan, datang seorang perempuan muda sambil tersenyum kepada mak cik tersebut. “ eh cikgu, lama tak jumpa. Cikgu  apa khabar? Cikgu nak pergi mana ni?” ujar perempuan muda  tersebut dengan begitu ramah.  Mendengar kata sapaan yang digunakan oleh perempuan muda tersebut, baru ku tahu rupanya mak cik yang aku borak tadi adalah sorang guru. Mungkin bekas guru kepada perempuan muda tadi.


                                                             

Tinta Bicara
Daripada dua situasi yang berlaku hari ini,  sesuatu yang dapat aku jelaskan di sini ialah bahasa bukan sahaja menjadi medium perhubungan antara kita, malah bahasa juga bertindak sebagai unsur yang dapat digunakan sebagai asas untuk menentukan kedudukan seseorang dalam masyarakat. Jika kita mendengar perbualan di antara dua orang, cara mereka menggunakan bahasa bukan saja memperlihatkan hubungan antara mereka berdua tetapi juga mengenai latar belakang masing-masing. Daripada jenis bahasa, pilihan kata, terutama penggunaan kata ganti nama dan dan kata-kata dialek, serta gaya percakapan, dapat kita membuat beberapa kesimpulan terhadap kedua-dua orang tersebut, iaitu dari  segi umur, hubungan antara mereka dan tempat asal. Di sini bahasa sudah memainkan peranan  sebagai sumber maklumat tentang pengguna-penggunanya. Daripada kata-kata yang digunakan kita dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang seseorang itu, termasuk hubungan dengan orang-orang yang dilawan bercakap.  Bahasa dalam konteks ini menjadi alat bagi pendengar mengenali dengan lebih dalam orang yang sedang bercakap. Bagaimana dia bercakap dan apa yang dipercakapkan akan dapat memberi maklumat tentang dirinya. Bagaimana dia menyebut bunyi-bunyi tertentu, bagaimana dia menyusun frasa dan ayat tertentu serta jenis perbendaharaan kata yang digunakan dapat menunjukkan dari daerah mana dia berasal, dan jenis pendidikan yan g telah diterimanya. Juga, daripada yang dicakapkan seseorang dapat meneka sikap dan pendiriannya, pekerjaannya, dan berbagai aspek latar belakangnya. Ringkasnya, bahasa yang digunakan telah memberi keterangan tentng orang yang menggunakannya. Kesimpulannya, sebenarnya terdapat banyak fungsi bahasa selain sebagi alat perhubungan. Tetapi kadangkala fungsi-fungsi bahasa ini tidak begitu disedari oleh pengguna-penggunanya. Aspek-aspek ini menjadi antara bidang yang dicakupi oleh sosiolinguistik. 

No comments:

Post a Comment