Monday, March 14, 2011

KEMESRAAN DI SEBALIK KEBIADABAN

Situasi
Semasa dalam kelas keterampilan penulis hari ini aku terkejut apabila teman baik yang berada di sebelahku menghantar mesej kepada adiknya yang berada di kampung dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan dan kasar bunyinya. Di bawah ini aku lampirkan mesej yang dihantar oleh temanku itu.


             Bodoh, bengong tengah buat apa?                           


Hairan aku dibuatnya. Mustahil rakan yang telah lama kukenali berbahasa kasar sedemikian. Sepanjang aku mengenalinya dia sentiasa menjaga tutur bicaranya, seingat aku, aku tidak pernah terasa hati disebabkan sikap atau bicaranya. Pada mulanya aku beranggapan mungkin temanku bergaduh dengan adiknya. Tetapi apa yang menghairankan daripada raut wajah temanku tidak sedikitpun  menunjukkan sebarang tanda-tanda seperti  dilanda krisis, malah dia kelihatan tersenyum dan ceria. Kehairananku berlipat ganda apabila dua minit kemudian adiknya  membalas mesej yang dihantar temanku menggunakan bahasa yang sama kasar seperti mana rakanku tadi.

Hehe bangang  aku tak buat apapun. Awat hg rindu kat aku ka?

Aku sangka temanku akan marah melihat mesej yang berbaur kasar  sedemikian. Tambahan pula adik sendiri yang sepatutnyamenghormatinya tetapi berbahasa kurang ajar dan agak biadap seperti itu. Tetapi sangkaanku meleset  100%. Tidak secalit pun wajah marah terpampang diwajah temanku, malah dia tersenyum. Keliru juga aku memikirkan kelakuannya. Kelihatan pelik tapi benar apa yang kulihat mungkinkah rakanku ini sudah tidak waras fikirku ketika itu. Tetapi setelah aku meminta penjelasannya, barulah aku tahu keadaan yang sebenar rupa-rupanya sudah menjadi kebiasaan dia dan adiknya berbahasa sedemikian.  Walaupun nampak agak kasar tetapi disebalik kekasaran itulah yang membuatkan hubungan antara mereka semakin mesra dan akrab. Kadang-kala kata-kata ini bagi mereka lebih kepada bersifat gurau senda dan tersirat unsur humor.
       

Tinta bicara
Kadang-kala sesuatu bahasa yang kita ujarkan sehari-hari  boleh memberi satu perspektif yang negatif  terhadap si pendengar walaupun  maksud sebenar yang ingin  disampaikan sama sekali tidak melambangkan seperti apa yang difikirkan oleh si pendengar.  Namun kita harus sedar kadangkala  ada segelintir masyarakat kita yang  menggunakan ragam bahasa yang kelihatan agak kasar pada dasarnya, tetapi  bagi mereka kebiasaan  ragam bahasa sedemikian itu sebenarnya adalah lebih mesra antara mereka. Contohnya masyarakat yang berasal dari Melaka, jika kita lihat kebiasaan mereka akan menggunakan bahasa yanga agak kasar apabila bertemu dengan sahabat yang sudah lama tidak dijumpai. Contoh ayat  yang sering  mereka gunakan seperti:

“celake kau. Lame tak jumpe. Kau buat ape sekarang”

Masyarakat lain yang mendengar bicara antara mereka sudah pasti akan timbul perspektif  negatif. Namun bagi mereka ragam bahasa sedemikianlah yang membuatkan hubungan  persahabatan antara mereka lebih mesra. Jadi kesimpulannya kita tidak boleh bersalah sangka  atau memandang negatif kepada semua orang yang menggunakan bahasa kasar dalam pertuturan mereka kerana mungkin  persekitaran mereka yang menentukan cara atau ragam bahasa  yang sedemikian. Kadang-kala apa yang ingin disampaikan atau maksud sebenar yang tersirat daripada pertuturan yang kelihatan kasar itu berbeza dengan apa yang kita fikirkan.





Sunday, March 13, 2011

UNCLE YANG MASIH MUDA

situasi
Peristiwa yang agak menarik hari ini apabila aku, mun, yumi telah ke sebuah rumah kebajikan orang tua atau lebih dikenali dengan rumah sejahtera yang terletak di Jalan Ketoyong. Kami ke sana dengan menaiki sebuah teksi di mana pemandunya seorang yang berbangsa India dan bertubuh gempal.  Sesuatu yang menarik hatiku ialah apabila Yumi memanggil lelaki tersebut dengan gelaran ‘uncle’. Walaupun secara kasarnya kelihatan wajah pemandu tersebut seperti sudah berumur namun jika diperhatikan  betul-betul aku dapat merasakan lelaki tersebut masih berusia muda. Aku segera menegur rakanku itu ‘ yumi muda lagi la mana boleh panggil uncle”. Rakanku segera meletakkan tangannya di mulut menandakan kesilapan yang dilakukan. Mendengar kata-kataku pemandu tersebut terus tersenyum dan membalas bicaraku ‘yalah saya muda lagi, kalau dah berumur 40 tahun ke atas bolehlah panggil uncle’ sambil ketawa. Pada mulanya kami rasa agak  bersalah, namun apabila melihat pemandu tersebut seperti tidak kisah dan tidak mengambil hati akan panggilan yang rakanku gunakan, lama kelamaan perasaan itu semakin pudar. Tambahan pula pemandu tersebut begitu ramah dan mesra melayan pelanggannya walaupun berbeza agama dan bangsa. Sikap beginilah yang perlu ada dalam diri setiap masyarakat sepertimana yang sering dilaungkan oleh Negara kita. Walaupun kita berbeza agama, bangsa dan warna, namun kita tetap satu, SATU MALAYSIA.

                                                                             


Tinta bicara
Berdasarkan peristiwa hari ini, aku mendapat pengajaran baru iaitu kita haruslah berhati-hati ketika menggunakan kata sapaan atau gelaran kepada seseorang. Jangan sewenang-wenangnya memanggil seseotrang dengan melihat aspek fizikalnya sahaja. Jalan yang lebih selamat gunalah kata sapaan 'encik' atau 'saudara'. walaupun sapaan ini nampak seperti dalam situasi rasmi atau 'skima' namun kadang kala ada kebaikannya. Kadangkala kata sapaan atau gelaran yang kita gunakan boleh membuatkan orang lain tersinggung atau berasa hati. namun dalam situasi ini kami bernasib baik kerana pemandu tersebut seorang yang baik hati dan mesra orangnya. aku puji sikap yang ada pada pemandu tersebut walaupun rakanku telah tersalah menggunakan kata sapaan yang tidak sepatutnya kepada pemandu tersebut.Namun begitu,  peristiwa ini sungguh berharga antara kami kerana masih wujud masyarakat kita yang mengamalkan nilai sopan dan ramah mesra dalam berbahasa. Nilai inilah yang perlu ada dalam diri setiap insan bagi mewujudkan keharmmonian dalam masyarakat kita hari ini.


                                                               

WARGA BERBUDI BAHASA

Situasi
Hari ini aku dan beberapa orang teman  telah ke sekolah Menengah Slim River untuk menjalankan rancangan pengajaran makro. Sampai di sana kami terus ke bilik pengetua untuk memberitahu akan kehadiran kami. Selepas itu kami terus menuju ke bilik guru yang telah kami sedia maklum kerana pada minggu sebelumnya kami telah ke sekolah tersebut  untuk memohon kebenaran pengetuanya. Pada mulanya aku agak risau memikirkan bagaimana layanan guru-guru di situ terhadap kami. Sampai di bilik guru kulihat ada beberapa orang guru yang sedang membuat kerja mereka dan beberapa lagi sedang berborak sesama mereka. Melihat kehadiran kami mereka terus melemparkan senyuman kepada kami bersama sapaan mesra. Akhirnya terubat  kerisauanku . Ketika kami sedang berjalan menuju ke kelas, kuperhatikan pelajar-pelajar di sekolah itu mempunyai budaya murni dalam diri mereka. Apabila terserempak dengan kami dan guru-guru lain, ucapan salam pasti meniti di bibir-bibir mereka bersama senyuman. Aku dan teman  masing-masing memuji budaya yang ditunjukkan oleh warga sekolah ini. Sesungguhnya aku akui warga sekolah ini telah terlatih dengan budaya mesra, sopan santun dan baik bahasanya.

                   

Tinta bicara
Sifat ramah mesra dan penggunaan bahasa yang sopan  seperti memberi salam sesama manusia amat dituntut dalam agama kita. Penggunaan bahasa yang mesra  dan bersopan dengan siapa sahaja kita bertutur walaupun tidak mengenalinya sebenarnya dapat mewujudkan pandangan atau persfektif positif terhadap masyarakat lain. Di samping itu bahasa yang mesra juga boleh membuatkan orang lain menyenangi diri kita. Orang yang mempunyai nilai baik ini dalam diri sentiasa dihormati dan disukai oleh pihak lain. Oleh itu amalkanlah menggunakan bahasa yang baik dengan sesiapa dan di mana sahaja kita bertutur untuk keharmonian dan kebaikan  kita bersama.



PISANG GORENG

                                                                      
Situasi
Pernahkah kalian menikmati pisang goreng?  Pelik benar soalannya tentulah pernah bukan? Sesiapa yang tidak pernah itu barangkali ada unsur-unsur penipuan di situ melainkan memang orang itu tidak suka atau alah akan buah pisang. Bercakap mengenai juadah ini terasa lapar pula. Alangkah bagusnya jika petang-petang sebegini aku dapat menikmati pisang goreng yang masih panas seperti gambar hiasan di atas. Bercakap mengenai pisang goreng ini sebenarnya aku ingin berkongsi satu ragam bahasa yang ada kaitannya dengan pisang goreng. Sewaktu aku hendak kembali ke tanjung malim setelah seminggu bercuti di kampung, bapa saudaraku telah memberhentikan keretanya di salah sebuah ‘perhentian rehat dan rawat’ (R & R) untuk berehat sebentar setelah beberapa jam memandu. Sementara itu aku dan temanku sempat ke berjalan-jalan membeli makanan untuk mengalas perut di gerai-gerai yang terdapat di situ. Terdapat sebuah gerai yang menjual pisang goreng yang  begitu membuka seleraku ketika itu.lantas aku terus mengajak temanku ke gerai tersebut. ketika menunggu penggerai tersebut membungkus pisang goreng yang telah aku pesan, aku terpandang pada papan tanda yang terpampang di hadapan pintu gerai tersebut. cuba anda perhatikan papan tanda tersebut:



                                                             

Tinta Bicara
Jika anda perhatikan sebenarnya terdapat kesalahan bahasa sedang bermaharajalela di situ. Memang tidak dinafikan sebelum ini banyak juga gerai yang kulihat penggunakan papan tandanya sedemikian rupa.cuba anda lihat, ‘pisang goreng’ atau ‘goreng pisang’.  Bagi sesetengah orang yang tidak pernah belajar apa itu hukum D-M tentu sekali tidak mengambil kisah “pisang goreng ke goreng pisang ke, x kisahlah janji boleh makan. Dan yang dimakan itu tetap pisang yang telah digoreng” ada juga yang tidak pernah tahu pun ada kesalahan di situ.  Sebenarnya penggunaan kata “goreng pisang” adalah salah sama sekali dalam Bahasa Melayu. Kesalahan penggunaan kata ini di dalam bahasa Malayu dapat dilihat dari sudut hukum D-M. Hukum ini adalah satu sifat susunan kata di dalam bahasa Melayu yang berbeza dengan bahasa Inggeris. Di dalam hukum D-M, D melambangkan ‘yang diterangkan’ (head) dan M melambangkan  ‘yang menerangkan’ (modifier)  Menurut hukum D-M  iaitu D (kata yang diterang harus didahulukan dan diikuti kata yang menerang. Di dalam bahasa Melayu sesuatu perkara yang ingin diterangkan haruslah mendahului perkara yang mahu menerangkan. Contohnya:
Pisang goreng                                                                  
Pisang emas
Pisang masak                                                                             
Pisang tanduk





Namun begitu, satu perkara yang menjadi masalah kini kebanyakan daripada kita sering melakukan kesalahan dalam aspek hukum D-M sama ada secara lisan atau penulisan. Kesalahan yang dapat dikesan ini adalah susunan kata bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh susunan kata di dalam bahasa Inggeris. Contohnya :

SALAH
BETUL
 Syahira Restoran
Dunlop Tayar
Cili Sos
Lain-lain hal
Lain perkataan
Ipoh Kedai Pajak Gadai
Lain factor
Restoran Syahira
Tayar Dunlop
Sos Cili
Hal-hal lain
Perkataan lain
Kedai Pajak Gadai Ipoh
Faktor lain

                                                                      
KESALAHAN HUKUM DM

KESALAHAN HUKUM DM

KESALAHAN HUKUM DM








BAHASA ITU PUITIS

                                                                        


Situasi
Ketika aku sedang menilik sebuah buku untuk mendapatkan bahan bagi menyiapkan tugasanku, aku tertarik pada kata-kata berbentuk  sajak yang dilampirkan pada halaman pertama buku tersebut. Berikut merupakan lampiran sajak tersebut:
                                                                                                
Orang yang mengetahui
Dan tahu ia mengetahui
Dia itu ialah orang yang berilmu 
Ikutlah dia

Orang yang mengetahui
Dan tidak tahu ia mengetahui
Dia tu ialah orang yang tidur
Bangunkanlah ia

Orang yang tidak mengetahui
Dan dia tahu dia tidak mengetahui
Dia itu orang yang meminta petunjuk
Tunjukilah dia

Orang yang tidak mengetahui
dan tidak tahu dia tidak mengetahui
dia itu ialah orang yang jahil
tolaklah dia

      (imam Al-Ghazali.Ihya’-ulumuddin)
      Terjemahan: H.Ismail Yakub    dengan                                                 
      tajuk Ihya’Al-Ghazali(1977:226)

 Tinta Bicara           
Apa yang ingin aku jelaskan berdasarkan sajak tersebut  ialah mengenai aspek penggunaan bahasa yang berfungsi sebagai alat untuk menyampaikan buah fikiran yang lebih tinggi, buah fikran yang abstrak dan bersifat kreatif. Dalam konteks ini bahasa menjadi alat penyampaian buah fikiran yang indah, yang hanya dapat dikuasai oleh orang-orang tertentu sahaja. Cuba anda perhatikan bait-bait kata yang begitu puitis hasil ciptaan Al-Khalil Bin Ahmad. Walaupun kata-kata yang digunakan nampak ringkas tetapi makna yang ingin disampaikan begitu mendalam. Dalam susunan kata-kata yang ringkas ini beliau berjaya menyatakan perasaan dengan  menggambarkan sifat manusia yang mempunyai ilmu dan tidak berilmu. Beliau juga menyedarkan pembaca tentang tindakan terhadap golongan-golongan tersebut contoh pada rangkap pertama sajak tersebut beliau menceritakan mengenai golongan yang mempunyai ilmu pengetahuan dan tindakan yang harus kita lakukan ialah  mendekati golongan tersebut. Buah fikiran yang disampaikan melalui bahasa yang disampaikan dalam sajak tersebut jelas menunjukkan penciptanya amat menitik beratkan ilmu pengetahuan.  Tidak semua penutur sesuatu bahasa dapat menurunkan bahasa-bahasa kreatif seperti ini dengan berjaya.Hanya memalui bahasa, pengetahuan sesuatu generasi dapat disampaikan kepada generasi yang yang seterusnya iaitu dengan cara pengetahuan itu diajar, dibukukan, untuk dibaca dan dipelajari oleh orang-orang kemudian. Tanpa bahasa, pengetahuan yang ada pada seseorang tidak dapat disampaikan kepada orang lain dengan sempurna.






                                                                    

Saturday, March 12, 2011

PAPAN TANDA

Situasi                                                             
Aku telah diberitahu oleh rakan-rakan bahawa Tambun adalah salah sebuah destinasi percutian yang sangat seronok.  Menurut rakan-rakan yang pernah bercuti ke sana, di dalamnya terdapat pelbagai permainan air, mini zoo dan kolam air panas hasil ciptaan manusia. Daripada keseronokan yang digambarkan oleh mereka membuatkan keinginanku untuk ke sana semakin ketara.  Pada minggu yang lalu, keinginanku ini telah tercapai apabila insan tersayang telah membawaku ke sana. Walaupun kami berdua tidak pernah menjejaki kaki ke sana tetapi alhamdullillah dengan berpandukan papan tanda yang disediakan  di sepanjang jalan raya, kami berjaya sampai ke sana dengan mudah tanpa mengalami sebarang kesulitan atau kesesatan.
                                            
                                                             


Tinta bicara
Bahasa ialah satu bentuk komunikasi, sama ada bercakap, bertulis atau menggunakan simbol. Berdasarkan  situasi yang saya paparkan tadi, sebenarnya saya ingin menjelaskan bahawa simbol atau tulisan yang terdapat pada papan tanda juga merupakan sejenis bahasa komunikasi. Seringkali kita perhati pada papan-papan tanda yang mengandungi simbol atau tulisan yang hanya menggunakan ayat-ayat yang ringkas yang kebiasaannya  dilihat di sepanjang jalan raya atau tempat-tempat awam lain. Biasanya maksud yang ingin disampaikan melalui papan tanda atau simbol-simbol ini   dapat difahami   oleh pengguna walaupun tidak dinyatakan dalam bentuk lisan atau tulisan yang menggunakan ayat yang lengkap dan gramatis. Contohnya yang paling jelas untuk kita lihat ialah penggunaan lampu isyarat di jalan raya. Pernahkah anda melihat lampu isyarat yang tertulis padanya warna hijau  menandakan anda boleh berjalan, warna kuning anda harus berjaga-jaga dan warna merah anda mesti berhenti. Pernahkah  maksud bagi warna-warna ini  disampaikan malalui rakaman suara atau audio? Tidak bukan? Walaupun tidak disampaikan secara lisan atau tulisan tetapi boleh difahami maknanya oleh setiap pengguna jalan raya melalui penggunaan simbol warna tersebut. Begitu juga dengan simbol-simbol lain   seperti arahan, larangan sebagai panduan kepada kita. Dengan itu jelaslah bahawa simbol juga tergolong dalam bahasa walaupun tidak disampaikan secara lisan atau tulisan asalkan ianya mampu memberi makna kepada manusia. 
                             






                            

PEMANDU BAS YANG LUCU

Situasi 
Situsi ini berlaku ketika aku sedang menunggu bas dari kuliah di proton city untuk ke kampus. Agak lama juga aku menunggu di situ. Kelihatan ramai lagi pelajar sepertiku  sedang menunggu bas yang sama. Sepuluh minit kemudian akhirnya bas  tiba. Pelajar-pelajar yang tadinya sedang menunggu bas termasuk aku, terus bergegas menuju ke arah bas tersebut. Sebelum sempat pelajar menaiki tangga bas  pemandu pemandunya terlebih dahulu turun dari bas.  Agaknya ingin berbual bersama seorang lagi rakannya yang berada di situ sementara menunggu pelajar-pelajar menaiki bas. Sebelum dia mendapatkan rakannya, dia sempat melangkah ke arah pelajar-pelajar dan memberitahu kami sesuatu. Lihat dialog antara pelajar dan pemandu bas tersebut :


Pemandu : bas tak boleh berjalan
Pelajar   : kenapa pak cik (tercengang-cengang)
Pemandu  : kamu tengoklah tayarnya
Pelajar   : pancit ke pak cik?
Pemandu  : tak lah tayarnya bulat. Betulkan cuba tengok betul-betul
Pelajar  : (masih tercengang)
Pemandu  : betul lah cuba kamu tengok tayar bas kan bentuknya bulat, mana ada tayar bas bentuk segi tiga
Pelajar : (ketawa)
Pemandu : ada empat buah bas tapi dua bas je bergerak hari ni dari pc ke kampus. Sebab tu lambat.
Pelajar  : kenapa pak cik?
Pemandu  : tah la bas ade, tapi dua lagi pemandunye tak de. Dah mati agaknye(sambil ketawa)
Pelajar  : ketawa beramai-ramai.

Tinta bicara
Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah penggunaan ragam bahasa yang digunakan oleh pemandu bas tersebut. Pemandu  bas tersebut menyelitkan unsur humor dalam pertuturannya untuk menarik minat pendengar.  Kadang kala dalam kita berbahasa unsur humor ini penting diselitkan, bukan sahaja dapat menarik perhatian orang lain malah menjadikan sesuatu situasi ceria dan tidak hambar. Biasanya kita dapat lihat sesetengah penceramah yang memasukkan unsur ini ketika  menyampaikan ceramah akan membuatkan para penonton tertarik dan sentiasa memberi perhatian akan ucapan yang disampaikan. Suasana di tempat tersebut juga nampak lebih hidup berbanding penceramah yang serius. Perkataan mati yang digunakan oleh pemandu tersebut pada dasarnya agak kasar, tetapi jika dilihat perwatakan pemandu tersebut dari caranya berbahasa, perkataan kasar itu seperti ditenggelami oleh sikap lucunya itu. Sikapnya itu membuatkan pelajar-pelajar menyenangi dan mudah untuk berkomunikasi dengan mesra. Oleh itu jelas di sini bahawa penggunaan unsur humor ketika berbahasa dapat menarik perhatian pendengar. Tetapi penggunaannya juga harus bersesuaian dengan situasi atau sikap orang yang dilawan bicara agar tidak menyakiti atau menyinggung perasaan orang lain. Bahasa itu sebenarnya indah sifatnya tetapi  terpulanglah kepada kita bagaimana cara untuk kita mengindahkan bahasa yang kita tuturkan.