Situasi
Idea untuk aku menulis blog mengenai ragam bahasa kali ini berlaku ketika aku berada di kampung pada cuti semester baru-baru ini. Ketika sibuk memasak di dapur, aku dikejutkan dengan satu suara laungan yang begitu jelas kedengaran melalui corong pembesar suara yang digunakan. Suara dan kalimat yang digunakan sememangnya telah disedia maklum oleh seluruh penduduk kampungku akan tujuan kedatangannya. Hal ini kerana pada setiap bulan jika tidak salah perhitunganku, pemilik-pemilik suara tersebut akan mengelilingi kampungku menggunakan lori sambil melaung-laungkan kalimah-kalimah manis bagi melariskan hasil penjualan mereka. Ayat-ayat yang dilaung-laungkan itu kadangkala sudah dapat dihafal oleh penduduk kampungku terutama bagi golongan kanak-kanak yang seringkali meniru atau mengikut kembali kata-kata tersebut apabila mendengar penjaja-penjaja itu melaung-laungkan kalimat yang sama setiap kali kedatangan mereka ke kampungku . Mungkin kalian juga pernah mendengar ayat-ayat retorik penjaja tersebut yang berbunyi begini:
Tilam, tilam, tilam
Tilam lama tukar tilam baru
Mari abang, mari kakak
Mari beli tilam baru
Jangan segan jangan malu
Beli satu percuma satu
Tilam, tilam, tilam
Ulasan
Retorik merupakan seni pemakaian bahasa untuk menyampaikan idea dengan menarik dan berkesan dalam sesuatu wacana baik dalam bentuk ucapan mahupun tulisan. Ritorik juga menggunakan bahsa yang indah bertujuan menarik perhatian khalayak. Untuk menghasilkan sesuatu wacana yang mantap, seseorang penghasil wacana perlu menggunakan retorik yang sesuai dengan wacana tersebut. Bagi situasi di atas penjaja tilam tersebut telah menggunakan retorik pemujukan. Retorik jenis ini sememangnya bersinonim dengan bidang perniagaan yang bertujuan mempengaruhi pembeli.
Pernahkah anda dipujuk atau diwarwarkan dengan kebaikan sesuatu barangan oleh penjual contohnya barangan kosmetik, ubat-ubatan, pakaian atau sebagainya? Mungkin ada antara kalian yang pernah mengalami situasi ini bukan? Tujuan pemujukan ini dilakukan adalah untuk mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan di samping bertujuan memainkan emosi pembeli. Dengan memanipulasikan emosi pembeli, penjual atau penghasil wacana berharap pendirian pembeli akan berubah lalu bertindak mengikut kehendak penjual. Bagi menjayakan misi mereka ini, ritorik pemujukan yang digunakan biasanya akan mementingkan kehalusan berbahasa dengan menyelitkan unsur-unsur psikologi pembeli. Bahkan ada juga antara peniaga yang turut membandingkan kebaikan dan keburukan seseuatu barangan dengan berangan yang lain bertujuan untuk melariskan barangan yang dijual mereka. Di sini jelas menunjukkan dalam berbahasa kadangkala penggunaan ritorik amat penting agar apa yang ingin disampaikan lebih berkesan dan menarik. Tetapi retorik yang digunakan haruslah bersesuaian dengan situasi atau tujuan yang ingin disampaikan. Seseorang yang menggunakan ritorik juga haruslah menguasai bahasa dengan baik di samping tahu akan perkara yang ingin disampaikan. Hal ini harus dititik beratkan supaya sesuatu penyampaian itu lebih berkesan dan tujuan sebenar tercapai.
No comments:
Post a Comment