Monday, February 21, 2011

AKU DISINDIR

Situasi
Jam menunjukkan pukul 7.50 malam. Setelah selesai menunaikan solat maghrib aku mengambil keputusan untuk berehat sebentar sebelum mahu menyambung kembali tugasan sajakku yang terbengkalai sejak seminggu lalu akibat terlalu sibuk dengan tugasan lain. Lantas aku berbaring di atas katil empukku  sambil menggapai  sebuah novel berjudul ‘seketul hati seorang pemimpin’ hasil tulisan salah seorang sasterawan tanah air kita yang tidak asing lagi  iaitu Shahnon Ahmad. Setelah beberapa helaian berjaya menembusi bebola mataku, tanpa disedari aku mula terlelap barangkali  itu tandanya keletihan telah mencapai tahap maksimum setelah seharian berkuliah. Selepas lima belas minit aku diulit mimpi, tidurku telah diganggu oleh suara deringan yang aku pasti datangnya dari arah telefon bimbit milikku. Dengan perasaan yang begitu malas akibat dikuasai rasa mengantuk aku menggagahi jua mencapai medium perhubungan tersebut. Aku lihat pada skrin yang tertera nama insan yang amat kukasihi iaitu “papa”. Lantas aku pekapkan telefonku ditelinga dan mula berkomunikasi:
 
aku    : walaikumsalam. ada apa mak.
mak   : tak dak pa. kak dok buat apa tu? 
aku    : baru bangun tidoq.
mak   : amboi anak dara ni tak elok tidoq waktu maghrib. sembahyang dak lagi?
aku    : sembahyang dah tadi. tak sengaja la mak letih sangat tadi.
mak   : sembahyang dah tak pala. kak jadi balik dak sabtu ni? kata nak p jitra, umah kebajikan
aku    : tak tau lagi. tak dapat kata putus lagi dengan kawan-kawan.
mak   : hala apa-apa hal jadi ka dak ka, kak tepon la mak balik.
aku    : hala. ayah dok buat apa mak?
mak   : dok tengok tv. tak kan dok tidoq plak kot awai lagi ni.
aku    : hehe. mak tu nak sindir kak latu.
mak   : dak ashhhh. awat kak terasa ka. tulah sapa makan cili dia rasa pedas.hehehe
aku    : hehehehehe

Tinta bicara
“Siapa makan cili dia akan merasa pedasnya” berikut merupakan kata-kata sindiran yang sering digunakan oleh masyarakat kita bertujuan menyindir atau menegur sesuatu perbuatan yang dianggap kurang baik atau kurang sopan. Banyak lagi kata-kata sindiran digunakan. Namun ada kalanya kata-kata sindiran juga bertujuan untuk  bergurau senda atau  mengenakan seseorang bagi menceriakan sesuatu komunikasi. Biasanya hal ini berlaku dalam komunikasi antara dua pihak  yang mempunyai hubungan yang lebih rapat dan mesra umpama keluarga atau teman karib. Namun awas kata-kata sindiran juga kadangkala boleh menyakiti hati insan lain walaupun kata-kata sindiran tergolong dalam sejenis bahasa yang mengandungi unsur-unsur pengajaran, pendidikan dan nasihat. Disamping itu, kata-kata sindiran juga digunakan  untuk memberi teguran secara lebih berhemah agar pelaku tidak terguris hati atau tersinggung berbanding dituturkan secara berterus terang. Namun begitu pihak yang yang menyindir haruslah bijak menilai dahulu kesesuaian waktu, keadaan dan orang yang disindir bagi mengelakkan berlakunya ‘masam muka’ antara kedua-dua belah pihak. Hal ini kerana kadangkala kata-kata sindiran juga boleh disalah ertikan. Apa yang ingin  dijelaskan disini ialah kata-kata sindiran adalah salah  satu ragam bahasa yang turut digunakan dalam masyarakat kita. Ada kebaikan dan keburukan  penggunaan  kata-kata ini dalam sesuatu interaksi bersesuaian dengan makna tersirat yang ingin disampaikan oleh penutur itu sendiri. Namun terpulang kepada kebijaksanaan penutur tersebut memilih kesesuaian dari semua aspek sebelum kata tersebut diujarkan.

No comments:

Post a Comment