situasi
Hari ini saya terpanggil untuk memaparkan kisah mengenai peribahasa. Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta dan ada juga sesetengan pihak yang sesuka hati mereka mengubahsuai peribahasa asal kepada peribahasa yang mengandungi unsur humor untuk menarik minat pembaca. Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan memasukkan peribahasa moden yang bersifat janggal, lucu dan tidak menepati maksud di sebalik peribahasa yang dicipta. Oleh yang demikian, keindahan dan nilai pengajaran yang terdapat pada peribahasa asal akan lenyap dek perbuatan masyarakat yang mementingkan keuntungan semata-mata. Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan dan penyelidikan terhadap makna yang terkandung di dalamnya.
Berbalik kepada tujuan asal blog ini ditulis, sebenarnya di sini aku ingin menceritakan satu situasi yang berlaku ketika aku pulang ke kampung pada cuti semester baru-baru ini. Pada petang itu, aku berasa sangat bosan kerana tiada sebarang aktiviti menarik untuk kulakukan. Oleh kerana itu aku mengambil keputusan mengajak adik bongsuku ke perpustakaan desa yang terletak tidak jauh dari rumahku. Ketika aku leka mencari beberapa buah novel untukku kaji sebagai tugasan bagi subjek Modal insan, aku dikejutkan oleh suara tawa adikku yang berada sudut hujung perpustakaan tersebut. Lantas aku meletakkan jari telunjuk pada bibirku sebagai amaran terhadap tingkahlaku adikku itu. Mujur pada petang itu hanya kami berdua yang mengunjungi perpustakaan. Jika tidak pasti pekerja di situ akan marah atas perbuatan bising adikku yang boleh menganggu orang lain menelaah buku. Sambil menjinjing dua buah novel, aku segera mendapatkan adikku.
“Apa yang lucu sangat, nasib tak ada orang, kalau tak dah kena marah dengan kak perpustakaan tu” marahku sambil mataku beralih ke arah pekerja perpustakaan tersebut yang hanya tersenyum padaku. Lantas aku membalas senyumannya. “ ala tak apa kak tu baik lagi pun dia kenal adik, ni kak cuba baca majalah ni tentang peribahasa. Lucu peribahasa rekaan terbaru” bicara adikku sambil menghulurkan buku tersebut kepadaku. Aku segera mengambil majalah tersebut pada tangan adikku itu. Ku lihat pada halaman kulit majalah tersebut,kulitnya jelas kelihatan bahawa majalah tersebut keluaran lama. “oh patutlah lucu sangat majalah ujang rupanya” suaraku. Aku selak pada helaian yang dimaksudkan oleh adikku itu. Ada situasi dialog yang digambarkan menggunakan kartun dan diselitkan dengan beberapa peribahasa yangdireka dengan mengubah suai peribahasa asal oleh penulis bagi menampakkan kesan lucu. Tujuan peribahasa tersebut dicipta bagi menarik dan menghiburkan pembaca. Ini adalah antara peribahasa yang aku maksudkan.
|
Tinta bicara
Setelah membaca dialog yang diselitkan dengan peribahasa-peribahasa ini aku jua turut tersenyum. Masyarakat kita sekarang terlalu “pintar” sehingga mampu mengubahsuai peribahasa asal sedemikian rupa sehingga berjaya menghasilkan jenaka kepada pembaca terutama bagi golongan kanak-kanak. Namun persoalan yang timbul di benak hatiku, adakah mereka memikirkan kesan daripada pengubahsuaian tersebut yang tentunya boleh menghilangkan keindahan terhadap kata-kata kiasan yang telah diciptakan oleh nenek moyang terdahulu. Peribahasa atau kata-kata indah yang dicipta oleh nenek moyang terdahulu atau ahli-ahli bahasa sebenarnya banyak mengandungi unsur-unsur pengajaran dan pendidikan untuk disampaikan kepada masyarakat. Namun disebabkan ada segelintir daripada masyarakat kita yang memandang remeh akan keadaan ini, mereka dengan sewenang-wenangnya memanipulasi peribahasa demi mengaut keuntungan. Kesan daripada masalah ini juga akan menyebabkan kanak-kanak khususnya terpengaruh menggunakan peribahasa yang telah rosak dan tercemar ini dalam pertuturan harian mereka. Lebih teruk lagi mereka mungkin akan menggunakannya dalam penulisan karangan di sekolah. Disebabkan keadaan ini unsur-unsur pengajaran yang terselit pada peribahasa ini tidak lagi bermakna sebaliknya unsur keseronokan pula yang mengusai sesebuah peribahasa. Oleh itu kita sebagai masyarakat melayu hari ini haruslah mengelakkan perkara ini dari terus berlanjutan. Marilah kita bersama-sama memartabatkan keindahan bahasa yang telah diwarisi oleh masyarakat Melayu sejak zaman berzaman yang mengandungi banyak pengajaran dan dapat memberi impak dan kesan yang mendalam kepada pendengar. Hal ini bertujuan untuk melahirkan generasi yang tinggi nilai keperibadian dan mementingkan norma-norma kehidupan.
Justeru itu tunjang utama yang menjamin keutuhan sesebuah bangsa ialah perlestarian dan penghargaan terhadap tinggalan tradisi yang menjadi identiti bagi melahirkan masyarakat yang terus berpijak pada akar budaya dan nilai-nilai yang luhur. Lantaran menyedari hakikat ini maka sebagai generasi yang cinta akan warisan Melayu tinggalan nenek moyang kita perlulah memelihara dan mempertahankan warisan tradisi ini daripada terus suram dan tenggelam dimamah zaman.
No comments:
Post a Comment