Situasi
Ilham untuk aku menulis blog pada kali ini tercipta apabila aku terpandang pada sebaris ayat yang tertera pada baju yang dipakai oleh salah seorang teman kelasku pada suatu malam. Ayatnya berbunyi ‘Lu Fikirlah Sendiri’. Jadi aku membuat keputusan untuk menghubungkaitkan baris ayat ini dengan masalah yang kian meruncing dalam masyarakat kita sekarang. Seperti kita tahu pada hari ini penggunaan bahasa selanga terutama bagi golongan remaja kian ketara. Kamus Dewan telah mendefinisikan slanga sebagai kata-kata yang bukan daripada golongan bahasa tidak rasmi, tidak baku dan bersifat musiman. Selain itu variasi bahasa ini dianggap lebih rendah tarafnya daripada bahasa standard. Kata-kata tersebut biasanya digunakan dalam percakapan tidak formal dan tidak boleh digunakan dalam penulisan atau keadaan yang formal. Penggunaan bahasa selanga dalam kalangan remaja kini kebanyakan berpunca daripada pengaruh televisyen yang banyak memaparkan filem mengenai kisah-kisah kehidupan yang menggunakan dialog bahasa selanga. Ada juga bahasa-bahasa selanga yang direka sendiri oleh mereka bertujuan menyembunyikan maksud sebenar yang berunsurkan negative supaya tidak diketahui oleh masyarakat lain melainkan ahli kumpulan mereka sahaja.
Berbalik kepada judul bagi blog ku pada kali ini, jika kalian mendengar sebaris ayat iaitu “lu fikirlah sendiri” sudah tentu kalian akan membayangkan artis lawak tanah air kita yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan kita iaitu Nabil. Ayat ini begitu sinonim dengan beliau kerana beliaulah pengasas atau pencipta ayat ini yang begitu terkenal ketika beliau mula-mula menjejak kaki ke dunia artis jika tidak silap pada ingatanku dalam rancangan raja lawak pada musim kedua dahulu. Ayat ini sememangnya memberi pengaruh besar sehinggakan seringkali meniti di bibir-bibir masyarakat hingga kini terutamanya bagi golongan remaja dan kanak-kanak. Bahkan terdapat juga salah satu filem melayu yang menggunakan baris ayat ini sebagai judul filem tersebut dan dibintangi oleh Nabil sendiri.
Tinta Bicara
Apa yang menimbul masalahya sekarang penggunaan bahasa selanga dalam bidang perfileman membawa kesan negatif kepada remaja kita hari ini. Penggunaannya yang meluas dalam kehidupan hari ini menampakkan terhakisnya nilai-nilai budaya melayu yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan dalam diri. Lebih menyedihkan lagi ada juga segelintir remaja kita pada hari ini yang sanggup bercakap dengan ibu bapa mereka menggunakan bahasa selanga yang begitu kasar didengar. Mereka juga bukan sahaja terpengaruh untuk menggunakan bahasa selanga dalam pertuturan harian malah ada juga pelajar-pelajar kini yang menggunakannya dalam penulisan mereka di sekolah. Hal inilah yang menimbul kebimbangan ibu bapa terhadap remaja-remaja kini. Di bawah merupakan contoh-contoh bahasa selanga yang sering dituturkan oleh remaja sekarang:
Rempit
Awek
Bro
Mantap
Rempit
Brader
Mengancam
Mak we
Pak we
Selain bahasa selanga, bahasa rojak juga begitu ketara penggunaannya dalam industri perfileman. Penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris perlulah dielakkan. Bentuk penggunaan bahasa yang dikenali sebagai bahasa rojak ini semakin hari semakin ketara, kononnya atas alasan ingin menggambarkan realiti masyarakat di luar filem. Tetapi tindakan ini sebenarnya telah mencemarkan bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan Negara kita. Lebih parah lagi, untuk melihat penggunaan bahasa yang “sembarangan”, kita tidak perlu bersusah payah menonton filem kerana boleh dilihat secara langsung dalam penggunaan judulnya. Ada sesetengah filem yang sememangnya filem Melayu, tetapi judulnya dalam bahasa rojak atau bahasa selanga. Misalnya, Senario The Movie, Remp-it, Kami The Movie, Antoo Fighter, dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie. Untuk mengatasi masalah pencemaran bahasa dalam filem Melayu, pihak yang terlibat dalam industri perfileman perlu kembali kepada nilai budaya tempatan dan kembali mengutamakan pengunaan bahasa Melayu yang berkualiti kerana “bahasa menunjukkan bangsa” dan filem pula merupakan “cerminan bangsa”. Sebagai salah satu wahana hiburan yang kuat pengaruhnya dan mampu menyampaikan sesuatu mesej secara berkesan, maka biarlah sesuatu yang disampaikan itu adalah sesuatu yang baik dan dapat diteladani, termasuklah dari segi penggunaan bahasanya yang seharusnya mengikut piawaian bahasa yang tepat.
Ada tak teori tentang slanga?
ReplyDelete