Situasi
Kehadiran teman baik ke rumahku pada petang itu telah mencetuskan satu situasi berkaitan ragam bahasa yang ingin aku kongsi bersama kalian semua. Setelah aku dan temanku selesai berbincang mengenai tugasan, rakanku melangkah ke sudut balkoni yang terletak di sebelah luar rumahku. Aku lantas menjejaki langkah temanku itu. Dari sudut tersebut kami dapat melihat pemandangan luar dari atas yang sangat menenangkan perasaan. Dari situ kami juga dapat melihat pelbagai ragam pelajar sedang beriadah pada petang itu . Ada yang sedang berjoging, ada yang bermain badminton, ada yang sedang berborak dan sebagainya. Sedang memerhati ragam pelajar di bawah, kami terpandang pada gelagat seorang wanita dan seorang lelaki yang barangkali mereka adalah sepasang kekasih. Kelihatan mereka sedang berborak sambil bergambar. Sesekali kelihatan gelak tawa mesra antara mereka. Berikut adalah dialog antara kami setelah melihat ragam pasangan tersebut:
“Amboi seronok sungguh kekasih tu berdating, siap berposing lagi” ujar sahabatku. “ ha jeleslah tu, tu la bercouple dengan orang jauh lagi, kalau hang cari orang dekat boleh hang berdating hari-hari macam depa tu” balasku menggunakan dialek negeri tercinta.
Tinta bicara
Pernahkah kalian menggunakan istilah-istilah yang berwarna merah seperti dialog di atas. Berdating , bercouple, berposing?Apakah pendapat kalian mengenai istilah-istilah ini? Diringkaskan cerita apa yang ingin aku kongsikan di sini ialah penggunaan imbuhan dalam bahasa melayu yang digabungkan dengan istilah Inggeris. Seperti yang kita sedia maklum imbuhan dalam bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa aglutinatif di mana imbuhan diletakkan pada kata akar untuk mengubah fungsi kata tersebut dalam ayat atau menukar ertinya kepada sesuatu yang berkaitan dengan kata akar itu. Imbuhan dalam bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan awalan, imbuhan akhiran, imbuhan apitan dan imbuhan sisipan. Tetapi kebanyakan daripada kita pada hari ini menyalahgunakan imbuhan yang bertujuan mengubah fungsi sesebuah kata akar kepada merojakkan imbuhan tersebut dengan mencantumkan ia dengan istilah-istilah Inggeris. Hal ini telah menyebabkan berlakunya kecurangan bahasa. Namun disebabkan sikap kebiasaan berbahasa demikian, kita melihat penggunaannya sebagai sesuatu yang mudah, betul dan enak diujarkan dalam perbualan harian. Sedangkan sebenarnya imbuhan yang kita cantumkan bersama istilah Inggeris itu bukanlah bahasa ibunda kita. Oleh kerana wujudnya “kebiasaan” inilah menyebabkan bahasa Melayu kian tercemar dek kesalahan kita sendiri. Oleh itu dengan adanya akal minda yang dianugerahkan oleh tuhan, sama-samalah kita renungkan mengenai masalah ini.
No comments:
Post a Comment