Tuesday, February 22, 2011

SEBIJI? SEBUTIR? SEBUAH?


Situasi
Setelah tamatnya kelas Keterampilan penulis, aku bersama dua orang sahabatku berjalan menuju ke perhentian bas. Ketika berjalan salah seorang sahabatku menyuarakan isi hatinya “Harap-harap orang tak ramai, aku dah lapar ni tak sabar nak balik makan”. “ biasanya waktu-waktu mcm ni bas tak dak” balasku ringkas. Kedua-dua sahabatku hanya mengangguk setuju. Setibanya kami di perhentian bas, kelihatan sekitar kawasan tersebut begitu sesak dengan  pelajar-pelajar yang ingin mendapatkan bas untuk pulang ke kolej kediaman. Bersama perut yang berbunyi entah apa lagunya ditambah pula kepenatan dan kepanasan membuatkan kami bertiga hanya terdiam dengan wajah yang jelas kelihatan begitu letih setelah seharian berkuliah. Di situ  aku dapat lihat wajah pelajar-wajah lain juga tergambar rasa kepanasan dan kepenatan seperti yang kami rasai. Sedang leka menunggu bas, sambil mata meliar memerhatikan ragam pelajar di situ, tiba-tiba  salah seorang pelajar yang tidak kami kenali merungut  menunjukkan tanda tidak puas hatinya , “ishh punyalah ramai pelajar kat sini, sebutir bas pun tak mari”. Mendengar rungutannya itu, kami dapat mengagak bahawa pelajar ini berasal dari negeri Kelantan berdasarkan dialek yang digunakan. Sejurus selepas itu kami bertiga hanya tersenyum mendengar rungutannya  yang agak menggelikan hati.

Penggunaan “sebutir bas” yang diujarkan itu menjadi topik perbualan kami bertiga selepas itu . Kata bilangan bagi bas yang digunakan memang jelas salah penggunaannya. Mungkin disebabkan penutur tersebut berasal dari negeri yang telah terbiasa menggunakan “sebutir” untuk kenderaan atau benda-benda lain yang tidak sepatutnya menggunakan kata bilangan tersebut. Aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini  kerana aku juga kadangkala tanpa disedari melakukan kesilapan sedemikian ketika berbahasa disebabkan kebiasaan dalam pertuturan harian. Mungkin kalian juga sering melakukan kesalahan sedemikian ketika bertutur dalam suasana yang bukan formal. Kesalahan kata bilangan sering kita gunakan dalam perbualan harian seperti ayat di bawah ini.

“berapa biji bas?”
Sebiji kereta.”
“Ada beberapa biji sekolah yang terpilih.”                                    
“Kita sewa sebiji rumahlah.”

Tinta bicara
Pada ayat diatas jelas menunjukkan kesalahan kata bilangan bagi “biji”. Kata bilangan bagi ‘biji’ sebetulnya digunakan untuk sesuatu benda yang bersaiz kecil contohnya guli, cawan, bola, telur,batu, kubis, labu, belon dan seumpamanya. Tetapi bagi kereta, rumah, bas sebetulnya menggunakan kata bilangan “sebuah” kerana benda-benda tersebut mempunyai bentuk yang besar, padu, dan  tidak mempunyai bentuk yang tertentu. “Sebutir” juga seperti “sebiji” digunakan untuk benda-benda yang bersaiz kecil seperti peluru,manik dan sebagainya. Kebiasaan menggunakan kata bilangan yang salah dalam pertuturan harian ini kadangkala telah sebati dalam diri kita sehinggakan kita tidak merasakan satu kesalahan atau kejanggalan ketika menuturkan demikian. Cuba kalian bayangkan jika penggunaan kesalahan kata bilangan  ini menjadi kebiasaan dalam pertuturan sehingga berlarutan sewaktu kita bertutur di dalam kelas nanti dan ditegur oleh pelajar. Tentu malu bukan? Oleh itu saya berazam sedaya mungkin untuk mengubah kesalahan penggunaan kata bilangan  ini ketika bertutur agar tidak menjadi kebiasaan dalam diri saya.

No comments:

Post a Comment