Tuesday, February 22, 2011

GEJALA VS MASALAH

Situasi
Tadi sewaktu kuliah Karya Agung berlangsung, Profesor Ameritus  Abdulah Hassan telah mengutarakan satu persoalan yang saya rasa ramai dalam kalangan kita  yang masih keliru akan tafsiran makna dua istilah iaitu ‘gejala’ dan ‘masalah’. Sebelum ini saya menganggap istilah ‘gejala’ bersinonim atau membawa makna yang sama dengan ‘masalah’. Mari kita lihat contoh ayat di bawah.

 1) Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin meningkat kini.
 2) Masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin meningkat kini.
Jika dilihat maksud kedua-dua istilah sama sahaja penggunaannya dalam ayat.

Tinta Bicara
Menurut kata Prof. Ameritus Abdullah Hassan, sebenarnya kedua-dua istilah ini mempunyai makna yang berlainan. Namun kebanyakan kita menganggap istilah ini membawa makna yang sama dan menggunakannya dalam keadaan atau situasi yang sama sama ada dalam penulisan atau lisan.  Menurut beliau lagi istilah bagi ‘gejala’  sebenarnya membawa makna ‘simptom’ atau ‘tanda’. Manakala istilah ‘masalah’ pula membawa maksud sesuatu keadaan buruk yang telah berlaku. Gejala adalah sesuatu symptom atau tanda-tanda awal terhadap sesuatu permasalah yang masih boleh dibendung. Manakala bagi istilah ‘masalah’ pula adalah sesuatu keadaan buruk yang telah berlarutan dan sememangnya harus diatasi dan mungkin membawa kepada kesukaran untuk mengatasinya berbanding baru diperingkat ‘gejala’.Untuk mendapat pemahaman yang lebih jelas kita boleh  melihat contoh seperti  pantun di bawah:

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama jadi pencuri

Perbuatan bercakap bohong yang dilakukan oleh seseorang dapat dikatakan sebagai ‘gejala’ kerana masih boleh diatasi, tetapi akibat daripada gejala tersebut semakin berlarutan sehingga seseorang itu menjadi pencuri, ianya boleh diistilahkan sebagai ‘masalah’.

No comments:

Post a Comment