Tuesday, February 22, 2011

KERANAMU WANITA

Situasi
Hari ini aku ingin menceritakan mengenai wanita. Pada suatu hari yang sama aku telah berhadapan dengan dua wanita yang kukira mempunyai perwatakan yang berbeza walaupun mereka berdua terdiri daripada golongan yang sama. Jika disebut perihal wanita pasti kita semua dapat menyenaraikan beberapa kriteria yang menjurus ke arah positif seperti diri wanita sarat dengan kelembutan, keayuan, kecantikan, kesopanan, kemesraan, penyayang dan sebagainya.Namun pada hari ini aku ingin menceritakan dua keadaan berbeza yang telah ku alami mengenai wanita. Situasi pertama berlaku di stesen kereta api ketika aku bersama-sama teman baikku ingin membeli tiket pulang ke kampung.  Ketika sampai di kaunter membeli tiket tersebut,  rakanku terus mengajukan pertanyaan kepada seorang wanita yang bekerja situ. “ kak kami nak beli tiket untuk 28 hari bulan. Ada lagi tak tiketnya?”. “ tahulah tiket nk ke mana!” balasnya  dengan nada kasar tanpa  ada secalit senyuman pun dibibirnya.  Mungkin salah kami juga kerana  terlupa menyatakan destinasi. Tetapi tidak salah bukan jika dia bertutur dengan nada yang baik contohnya “ boleh akak tahu adik nak beli tiket untuk ke mana ?” bukankah pertanyaan sedemikian  nampak lebih mesra dan menyenangkan hati pihak yang mendengar. Bukan itu sahaja bahkan kami turut disindir apabila rakanku menyuarakan hasratnya untuk menukar tiket yang telah dibelinya semalam. “Hai baru beli semalam dah nak tukar, hmm mcm ni perangai budak-budak” pedih hati kami berdua mendengarnya.  Tujuan tiket itu ditukar oleh rakanku bukanlah mahu disengajakan atau secara ‘suka-suka’ tetapi mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan. Layanan yang diberikan oleh pekerja wanita tersebut sungguh membuatkan kami begitu terkilan. Tiada sekelumit pun kemesraan yang tergambar pada wajahnya. Sukar sangatkah untuk kita melemparkan senyuman pada orang lain? Bukankah dalam agama kita menyatakan senyuman itu adalah satu sedekah yang boleh menggembirakan hati orang lain?  Susah sangatkah untuk kita bertutur dengan orang lain dengan nada yang lembut?  Itulah persoalan-persoalan yang berlegar di kotak mindaku bersama hati yang pedih mendidih pada ketika itu.

Berbeza pula dengan situasi kedua yang ku alami  pada petang tersebut ketika aku dan temanku menjejakkan kaki ke perpustakaan untuk mencari buku teks. Oleh kerana buku-buku teks merupakan buku yang  tidak boleh dipinjam dan dikeluarkan dari perpustakaan, jadi kami mengambil keputusan untuk mencetak   buku tersebut. Setelah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pekerja yang bekerja di ruangan dimana buku-buku teks ditempatkan, kami terus ke tingkat bawah perpustakaan untuk ke bilik fotostat. Sampai di muka pintu bilik tersebut kami telah dihadiahkan dengan sebuah senyuman manis oleh seorang wanita muda yang bekerja di situ. “ya dik boleh akak bantu” itulah soalan pertama yang keluar dari bibir miliknya. Mendengar pertanyaan itu hatiku berbunga mesra. “baiknya kakak ni” bisikku kepada temanku. Kata ganti diri “akak” dan “adik” itu jelas menunjukkan ada nilai kemesraan di situ. “  kami nak fotostat buku ni, tapi tak tahu caranya” jawabku. “oh x mengapa nanti akak ajarkan. Sebelum tu adik perlu membeli kad yang berharga rm 20. Kad ini membolehkan adik untuk melakukan fotostat. Sebelum adik konvo nanti adik boleh datang ke sini dan akak akan pulangkan kembali duit adik sebanyak rm 10, jika baki kredit pada kad ini sudah habis dan adik mempunyai masalah untuk fotostat kelak, adik bolehlah topup semula untuk menambah baki kredit adik “ begitulah penerangan kakak tersebut sambil bibirnya tidak lekang menghadiahkan senyuman kepada kami berdua. Kami berdua hanya mengangguk tanda faham akan penerangannya. Setelah berbincang untuk berkongsi kad tersebut dengan rakanku, aku segera mengeluarkan wang dan menyerahkannya kepada wanita tersebut dan aku diminta menulis nama, nombor matrik dan menandatangani pada sehelai kertas yang telah disediakan. Kami seterusnya dibawa kepada salah sebuah mesin cetak yang terdapat dalam bilik tersebut. “ caranya begini terlebih dahulu, adik perlu  memasukkan kad yang dibeli tadi di sini, untuk melihat baki kredit yang masih ada, adik boleh lihat disini kerana setiap helaian yang telah adik fotostat, baki kredit akan ditolak dan baki yang tinggal akan dipaparkan di sini” terang wanita tersebut dengan tekun sambil jari telunjukkan diajukan pada sudut-sudut berkaitan yang tertera pada mesin tersebut. Penerangannya yang sangat tekun dengan menggunakan bahasa yang cukup sopan ditambah pula senyuman yang tidak pernah lekang pada bibirnya itu membuatkan kami  tidak berasa kekok untuk bertanya sesuatu yang kurang kami faham.

Tinta Bicara
Berdasarkan dua situasi ini, apa yang ingin aku simpulkan ialah mengenai nilai budi bahasa yang seharusnya ada pada semua orang tidak kira bangsa, jantina, umur, pangkat. Kerana budi bahasa inilah yang dapat menyatupadu dan mengharmonikan hubungan sesama kita walaupun tidak mempunyai ikatan persaudaraan. Bahasa indah dan sopan yang kita gunakan juga dapat menyenangkan hati insan lain. Oleh itu, wahai  rakan-rakan sekalian dengan sesiapa atau di mana pun kita bertutur gunakanlah bahasa yang sopan dan nada yang lembut. Kita tidak akan kerugian sedikit pun jika kita melakukan demikian malah mendatang kebaikan kepada semua pihak. Contohilah situasi kedua di mana pekerja disitu sangat berhemah ketika berbahasa dengan pelanggannya. Tutur bicaranya yang sopan disamping penggunaan kata sapaan yang begitu mesra dapat mengharmonikan sesuatu keadaan.

No comments:

Post a Comment