Situasi
Ketika aku membuka pintu rumahku setelah pulang dari kuliah, aku telah dihiburkan oleh dendangan lagu oleh teman sebilikku yang sedang memasak. “amboi seronok nampak kawanku sorang ni siap menyanyi sambil masak, ade ape-ape ke? Soalku sambil tersenyum kambing ke arahnya. “biasalah hati tengah senang ‘mikroteaching’ dah selesai. ujarnya sambil menjeling bangga kepadaku. “oh patutlah, macam mana ok ke ko ngajar tadi” soalku meminta kepastian. “ok jer cuma ada tersalah sikit je pada rph” jawapnya dengan nada puas hati. “ tahniah-tahniah” ucapku. “tapi orang tua-tua dulu pesan anak dara tak elok menyanyi waktu tengah masak, nanti jodoh kau dengan orang tua.hehehe” sambungku ku sambil ketawa. “yeke tak nak nyanyi lah aku nak kawin dengan pemuda kacak” jawapnya sambil ketawa. Aku juga turut ketawa mendengar impian temanku itu dan segera masuk ke bilik untuk merehatkan diri. Sambil berbaring di atas katil aku memikirkan perbualan bersama teman sebilikku tadi yang menyentuh mengenai pantang larang yang mengandungi makna tersirat di dalamnya.
Tinta bicara
Sesungguhnya masyarakat melayu dahulu begitu menekankan pantang larang dalam kehidupan mereka. Pantang Larang Orang Melayu Tradisional merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dan menerapkan disiplin dalam kehidupan. Sesuatu pantang larang yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman. Bila difikirkan memang tidak logik pada akal minda kita contohnya seperti larangan bagi wanita yang masih dara menyanyi ketika sedang memasak kerana bimbang akan berkahwin dengan lelaki tua suatu hari kelak. Jika difikirkan apakah kaitannya antara menyanyi dengan berkahwin dengan orang tua. Tiada kaitan langsung bukan? Tetapi ada benarnya cakap seorang guruku ketika di sekolah dahulu. Kata beliau masyarakat melayu dahulu menghasilkan pantang larang dalam kehidupan dan sering melarang anak-anak mereka khususnya anak gadis daripada melakukan sesuatu perbuatan yang kurang sopan.hal ini bertujuan untuk mendisiplin dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Contohnya mereka melarang anak gadis mereka menyanyi ketika sedang masak kerana bimbang masakan akan dimasuki air liur atau masakan akan hangit kerana terlalu leka menyanyi. Sememangnya dapat diakui bahawa nenek moyang kita dahulu mempunyai kebijaksaan kerana memikirkan kesan yang mungkin akan berlaku terlebih dahulu akibat daripada sesuatu perbuatan yang dilakukan. Jadi mereka mencipta kesan yang boleh menakutkan anak-anak mereka. Jika dilihat dalam kehidupan kita banyak lagi bahasa-kiasan yang mengandungi pantang larang yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Mungkin ibu atau nenek kalian pernah melarang kalian daripada melakukan sesuatu yang dianggap kurang baik disamping menyatakan akibat daripada perbuatan tersebut. Contohnya ibuku pernah melarangku duduk di atas bantal, akibatnya bontot akan ditumbuhi bisul. Nenekku jua pernah melarangku daripada duduk di muka pintu bimbang lambat dipinang orang. Kesimpulannya pantang larang adalah sejenis bahasa yang dikiaskan dengan sesuatu akibat yang mengandungi makna tersirat di dalamnya. Kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya yang tersirat banyak kebaikan di dalamnya. Antaranya adalah untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai murni agar menjauhi sesuatu perbuatan yang dilihat tidak sopan dan boleh membawa kerugian kepada diri serta dipandang negatif oleh pihak lain. Di bawah ini adalah contoh-contoh pantang larang yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu:
Pantang Larang Wanita Hamil
1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.
2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.
3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan.
4. Dilarang bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.
5. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya.
6. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan.
7. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur.
8. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling.
9. Dilarang melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur.
10. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat.
11. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri.
12. Dilarang tidur waktu tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.
Pantang Larang Ke Atas Lelaki
1. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.
2. Dilarang kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan.
3. Dilarang mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit.
4. Dilarang tidur di tengah padang, nanti emak mati.
5. Dilarang ketawa waktu Maghrib, nanti datang hantu.
6. Kalau tidak tahan berpanas, nanti tunang dilarikan orang.
Pantang Larang Bayi
1. Bayi tak boleh ditegur jika badan gemuk, cuma katakan ‘semangat’ kerana ditakuti menjadi kurus.
2. Dilarang memicit mulutnya, nanti tiada selera makan.
3. Tak boleh diletak bayi atas lutut, nanti mendapat sakit perut.
4. Sisa makanan bayi tak boleh dimakan oleh ibu bapa, nanti melawan cakap.
5. Tak boleh dicium sewaktu tidur terutama di atas ubun-ubun kepala dan pada pusatnya kerana dikatakan pendek umur.
6. Kain lampin tak boleh direndam, nanti kembung perut.
7. Sewaktu bayi sedang tidur, kadangkala kita melihat dia tersenyum, ketawa dan ingin menangis. Jangan kejutkan kerana dikatakan bayi sedang bermain dengan urinya.
8. Tidak boleh menghembus mulutnya, nanti menjadi bisu.
Pantang Larang Ketika Berdiri
1. Tak boleh kencing berdiri, nanti punggung dijamah hantu.
2. Tak boleh berdiri tertindih kaki, dikatakan akan jauh rezeki.
Pantang Larang Ketika Makan
1. Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding.
2. Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu.
3. Makan pisang kembar, akan beranak kembar.
4. Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu.
5. Makan sisa anak, anak akan degil.
6.. Tidur selepas makan, nanti perut buncit.
7. Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.
8. Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang.
9. Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki.
10. Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua.
11. Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah.
12. Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing.
13. Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh.
14.Makan berlunjur,akan jadi pemalas.
15.Makan mencangkung, payah dapat rezeki.
Pantang Larang Sewaktu Tidur
1. Tidur di muka pintu, alamat dilangkah hantu.
2. Tidur di atas pokok, nanti dimakan langsuir.
3. Tidur di atas sejadah,nanti dihinggap kurap.
4. Tidur selepas makan, nanti ditindih hantu.
5. Tidur melekat nasi di kaki, nanti mimpi hantu.
Pantang Larang Ke Atas Perempuan
1. Dilarang menyanyi di dapur, nanti kahwin orang tua.
2. Dilarang menjahit di badan, nanti tidak lepas hutang.
3. Dilarang memakan leher ayam, nanti leher terkulai di pelamin.
4. Pantang bangun lewat, nanti sukar mendapat jodoh.
5. Dilarang makan nasi kerak, nanti mendapat anak bodoh.
6. Dilarang mencari kutu ditangga, nanti kahwin orang tua.
7. Dilarang mencucuk jarum pada waktu malam, nanti didatangi sial.
8. Dilarang bercermin di depan cermin retak, nanti wajah pucat di malam pertama.
9. Dilarang pakai baju basah, nanti badan naik kurap.
10. Pantang berbual di tangga, nanti dipinang orang di serambi rumah sahaja.
11. Dilarang makan bertindih pinggan, nanti menjadi madu orang.
12. Tak boleh menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki.
13. Dilarang mengerat kuku waktu malam, nanti datang sial.
14. Dilarang makan berubah tempat, nanti berkahwin ramai.
15. Dilarang meletak pinggan di tapak tangan ketika makan, dikhuatiri nanti akan merampas suami orang.
Pantang Larang Kanak-Kanak
1. Dilarang duduk atas bantal, nanti punggung terkena bisul.
2. Tak boleh memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.
3. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.
4. Tak boleh jelir lidah, nanti lidah terpotong.
5. Makan kepala ikan, nanti menjadi bodoh.
6. Dilarang mengangkat kaki ketika meniarap, nanti emak mati.
7. Tak boleh menunjuk pelangi, nanti jari kudung.
8. Tak boleh makan dalam gelap, dikatakan makan dengan iblis.
9. Dilarang bermain atau keluar rumah waktu senja, nanti disorok hantu.
10. Tak boleh gigit kain, nanti gigi berulat.
11. Hempedal ayam tak boleh dimakan, nanti susah bersunat.
12. Dilarang bercakap dalam tandas, nanti mata ketumbit.