Monday, January 17, 2011

KISAH TERCIPTA

Kisahnya bermula begini...Pada semester ini saya telah mengambil kursus Sosiolinguistik iaitu salah satu kursus wajib bagi setiap pelajar jurusan Bahasa Melayu. Ketika kuliah pertama kursus ini, kami diminta oleh pensyarah untuk menghasilkan laman blog bagi setiap individu. Blog tersebut haruslah dimuatkan dengan diari harian yang berkaitan dengan Sosiolinguistik. Oleh sebab itulah blog ini tercipta. 'Kata orang tak kenal maka tak cinta' jika kita hanya tahu menyebut sahaja istilahnya tetapi tidak tahu apa makna disebalik istilah indah itu tak guna juga bukan?.. jadi eloklah kiranya kita berkenalan dahulu dengan apa itu sosiolinguistik. 

Melalui hasil pembacaan yang saya perolehi daripada makalah-makalah tertentu dan juga internet, Sosiolinguistik merupakan bidang ilmu yang mengkaji kesan sebarang aspek masyarakat ke atas bahasa. Sosiolinguistik juga ialah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik ( disiplin yang meneliti bahasa). Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Bidang ini menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur yang mempunyai hubungan yang rapat antara kedua-duanya. 

Bidang sosiolinguistik juga adalah satu bidang yang membabitkan kajian bahasa dan masyarakat yang sangat luas cakupannya. Ia menumpukan bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Melalui bahasa manusia dapat berhubung, menyampaikaN buah fikiran dan perasaan. Dengan bahasa juga mereka dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagai anggota masyarakat. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi , sedikit sebanyak saya sudah mengetahui apa itu yang dikatakan Sosiolinguistik. 


No comments:

Post a Comment