Wednesday, January 19, 2011

PENCEMARAN


Situasi
Situasi ini berlaku ketika aku dan teman karibku Munira sedang berjalan-jalan di persekitaran “Karnival KHAR”  yang diajurkan oleh kolej kediamanku. Banyak gerai dibuka dengan perbagai jualan seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Sedang kami berjalan-jalan “menjamu mata” dari sebuah gerai ke sebuah gerai, aku terpandang sebuah gerai yang menjual beg tangan wanita. aku mengajak temanku pergi ke gerai tersebut kerana memang niatku untuk mencari beg untuk aku gunakan ke kuliah. Ketika melangkahkan kaki ke dalam gerai tersebut aku sempat mendengar perbualan antara pekedai dan tiga orang gadis yang aku kira mereka juga adalah pelajar seuniversiti denganku. Ini adalah dialog perbualan antara mereka yang sempat menebusi corong gegendang pendengaranku ketika itu.

Gadis 1     : Aku rasa better kau pilih handbag ni..lagi cantik.
Pekedai    : Ha pilih dik..pilih…jangan segan-segan. Adik beli satu beg, abang  
                      kasi free satu lagi  beg,beg   plastik.
Gadis 2     : haha…ala plastik bag tak payah cakap lah bang. Bang tak de  
                     discount ke,  kitorang share beli banyak ni.
Pekedai    : tak boleh la dik, dah murah dah tu.. kalau discaunt lagi boleh  
                      bankrupt lah  abang.

Gadis 3     : ala bang just discoun t sikit je lagi..

Pekedai    : ok lah adik punya pasai abang kasi discount.  RM 23 untuk satu 
                     beg.

Gadis 2     : ha camtu lah. thanks you bang…hehehe


Tinta Bicara
 Terasa sedih bila mendengar Bahasa Melayu yang kita cintai itu kian tercemar dari sehari ke sehari. Seperti yang kita sedia maklum, hari ini isu mencampur- adukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain terutama bahasa Inggeris sudah menjadi kelaziman bagi segenap lapisan masyarakat kita, bukan sahaja pada golongan kanak-kanak  malah golongan berpendidikan juga tidak lari dari melakukan kesilapan ini.  Daripada situasi di atas jelas golongan pendidik sendiri menggunakan bahasa rojak ketika bertutur. Apakah pandangan masyarakat luar terhadap perkara ini.


Aku bukanlah mahu menuding jari kepada sesiapa, malah aku akui aku sendiri juga sering mengeluarkan tutur bicara sedemikian rupa. Merojak, sekaligus merosakkan bahasa sendiri. Kebanyakan dari kita menganggap perbuatan menyelitkan istilah-istilah Bahasa Inggeris khususnya ketika bertutur adalah sesuatu yang bergaya dan bijak berbicara. Sebaliknya itulah kesilapan besar yang kita lakukan. Sedarlah perbuatan kita itu sebenarnya telah memperkecil, menghina dan mencemuh bahasa kita sendiri. Seringkali kita mengungkap kata-kata manis seperti “ Bahasa Jiwa Bangsa”, “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Cerminan Bangsa” dan seumpama dengannya sebagai bukti kita sangat mengagungkan bahasa kita iaitu Bahasa Melayu . Realitinya keagungan yang kita ungkapkan itu hanyalah kata-kata dusta yang hanya bermain di bibir semata-mata. Jelasnya kita sendiri sebagai masyarakat penutur asli bahasa melayu yang merosakkan bahasa ibunda kita sendiri.


Memang kebanyakan dari kita hari ini memandang remeh akan perkara ini, tetapi cuba kita bayangkan dengan akal minda kita jika suatu hari kelak bahasa Melayu yang kita agungkan itu lenyap dek kesalahan kita sendiri disebabkan sesuatu yang kita pandang remeh pada hari ini. Renung-renungkanlah…..





No comments:

Post a Comment