Sunday, January 23, 2011

UNIKNYA.....

Situasi
Assalamualaikum...hari ini aku mahu cerita mengenai dialek. Dialek dapat diertikan sebagai suatu bentuk bahasa yang berbeza daripada bahasa standard. variasi bahasa ini digunakan dalam satu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial tertentu. Berbeza daripada bahasa baku yang digunakan dalam situasi rasmi, dialek digunakan dalam situasi-situasi lain yang tidak rasmi seperti dalam perhubungan kekeluargaan dan pergaulan harian.

 Berbalik kepada tajuk utama aku iaitu dialek, hari ini aku telah belajar beberapa istilah menggunakan dialek kelantan daripada teman-teman serumahku..Memandangkan teman-teman serumahku lebih  ramai  terdiri daripada rakyat negeri Kelantan jadi aku mengambil peluang yang ada ini untuk menambah ilmu. Sebelum ini apabila mereka berbual  menggunakan dialek negeri kelantan, aku hanya terdiam dan tercengang. aku tidaj berani mencelah kerana aku sendiri tidak memahami apa yang mereka bicarakan. Kadang-kala aku terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya agar sedikit sebanyak aku dapat memahami apa yang mereka bicarakan.  Kadang kala pula aku akan meminta mereka mengulang kembali apa yang mereka katakan menggunakan bahasa melayu baku. Selepas itu pasti aku akan ditertawakan. Tanpa jemu teman-temanku akan menterjemah kembali setiap perkataan yang tidak ku fahami. Ini adalah antara perkataan yang berjaya aku muatkan dalam kotak ingatanku:

Dialek kelantan
Bahasa baku
seqho
ngacik kuku  
koqhe 
be 
ore 
ula 
tino
kuba 
mokte 
tepoh 
mitok 
gode 
kijo 
punoh 
ghocoh 
puyok 
spita 

Terasa
pengepit kuku
Pemarut kelapa
azan
orang
 ular
 perempuan
 kerbau
rambutan
 langgar
 mintak
 pukul
 kerja
 rosak
 gaduh
 periuk
 hospital



Tinta Bicar
 Malaysia  adalah sebuah nergara yang  sungguh unik,  terdapat pelbagai masyarakat yang menggunakan dialek  yang berbeza-beza. Setiap dialek yang dituturkan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tidak menjadi kesalahan kita menggunakan dialek dalam percakapan tetapi haruslah sesuai pada tempatnya. Contohnya jika dalam pertuturan harian gunalah dialek yang lebih menyelesakan kita, tetapi dalam situasi rasmi adalah lebih baik kita menggunakan bahasa Melayu baku. Walau apa sekalipun dialek yang kita guna hari ini, bahasa Melayu tetap menjadi bahasa kebangsaan yang harus kita martabatkan.




Thursday, January 20, 2011

PELIK BETUL...


Situasi 


Hari ini ketika aku leka mencuci pakaian, kedengaran satu suara jeritan memberi salam “assalamualaikum,assalamualaikum” “waalaikumussalam” jawapku sopan. Belum sempat aku membuka pintu, terjengul satu wajah wanita yang tidak ku kenali di  satu sudut   membasuh baju yang agak terbuka."eh tolong buka pintu boleh tak” pintanya tanpa ada secalit pun senyuman di wajah. “ “boleh-boleh sat na saya basuh tangan” jawapku menggunakan loghat utara. Dengan tergesa-gesa aku terus membuka pintu. Sejurus masuk ke dalam rumah dia terus melangkahkan kakinya menuju ke bilik air. Selepas menggunakan bilik air dia terus keluar dari rumahku. Tergamam  aku seketika melihat tingkahnya itu. “eh apa kena dengan Minah sorang ni, dah la arah aku buka pintu untuknya, senyum pun tak, dah tu guna bilik air tanpa minta kebenaran. Sepatah ucapan terima kasih pun tak ada. pelik betul. Ada juga manusia seperti ini.  ”getusku dalam hati.


Tinta bicara
      
Daripada peristiwa yang aku alami hari ini, ingin aku ingatklan diri aku sendiri dan rakan-rakan bahawa kita sebagai manusia yang hidup bermasyarakat haruslah mengamalkan budi bahasa dalam kehidupan seharian walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Tanpa budi bahasa sukar bagi kita untuk mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan. Tidak salah kiranya  kita meringankan mulut  memberi ucapan terima kasih kepada seseorang yang telah membantu kita walaupun dalam   sesuatu perkara yang kecil. Di samping itu gunakan bahasa pertuturan  yang sopan  kerana bahasa yang kita gunakan  melambangkan keperibadian kita. Jagalah kata-kata ketika bertutur supaya tidak menyinggung atau menyentuh hati orang lain. Bukankah dengan berbudi bahasa akan membuatkan orang lain menyenangi dan menyukai kita? Budi bahasa juga mencerminkan budaya sesebuah bangsa sepertimana slogan yang sering dilaungkan oleh kerajaan kita iaitu “Budi Bahasa Budaya Kita”. Oleh itu marilah kita sama-sama menanamkan nilai-nilai murni ini agar masyarakat kita pada hari ini lahir dari masyarakat yang bermoral tinggi.
senyum selalu

Wednesday, January 19, 2011

PENCEMARAN


Situasi
Situasi ini berlaku ketika aku dan teman karibku Munira sedang berjalan-jalan di persekitaran “Karnival KHAR”  yang diajurkan oleh kolej kediamanku. Banyak gerai dibuka dengan perbagai jualan seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Sedang kami berjalan-jalan “menjamu mata” dari sebuah gerai ke sebuah gerai, aku terpandang sebuah gerai yang menjual beg tangan wanita. aku mengajak temanku pergi ke gerai tersebut kerana memang niatku untuk mencari beg untuk aku gunakan ke kuliah. Ketika melangkahkan kaki ke dalam gerai tersebut aku sempat mendengar perbualan antara pekedai dan tiga orang gadis yang aku kira mereka juga adalah pelajar seuniversiti denganku. Ini adalah dialog perbualan antara mereka yang sempat menebusi corong gegendang pendengaranku ketika itu.

Gadis 1     : Aku rasa better kau pilih handbag ni..lagi cantik.
Pekedai    : Ha pilih dik..pilih…jangan segan-segan. Adik beli satu beg, abang  
                      kasi free satu lagi  beg,beg   plastik.
Gadis 2     : haha…ala plastik bag tak payah cakap lah bang. Bang tak de  
                     discount ke,  kitorang share beli banyak ni.
Pekedai    : tak boleh la dik, dah murah dah tu.. kalau discaunt lagi boleh  
                      bankrupt lah  abang.

Gadis 3     : ala bang just discoun t sikit je lagi..

Pekedai    : ok lah adik punya pasai abang kasi discount.  RM 23 untuk satu 
                     beg.

Gadis 2     : ha camtu lah. thanks you bang…hehehe


Tinta Bicara
 Terasa sedih bila mendengar Bahasa Melayu yang kita cintai itu kian tercemar dari sehari ke sehari. Seperti yang kita sedia maklum, hari ini isu mencampur- adukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain terutama bahasa Inggeris sudah menjadi kelaziman bagi segenap lapisan masyarakat kita, bukan sahaja pada golongan kanak-kanak  malah golongan berpendidikan juga tidak lari dari melakukan kesilapan ini.  Daripada situasi di atas jelas golongan pendidik sendiri menggunakan bahasa rojak ketika bertutur. Apakah pandangan masyarakat luar terhadap perkara ini.


Aku bukanlah mahu menuding jari kepada sesiapa, malah aku akui aku sendiri juga sering mengeluarkan tutur bicara sedemikian rupa. Merojak, sekaligus merosakkan bahasa sendiri. Kebanyakan dari kita menganggap perbuatan menyelitkan istilah-istilah Bahasa Inggeris khususnya ketika bertutur adalah sesuatu yang bergaya dan bijak berbicara. Sebaliknya itulah kesilapan besar yang kita lakukan. Sedarlah perbuatan kita itu sebenarnya telah memperkecil, menghina dan mencemuh bahasa kita sendiri. Seringkali kita mengungkap kata-kata manis seperti “ Bahasa Jiwa Bangsa”, “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Cerminan Bangsa” dan seumpama dengannya sebagai bukti kita sangat mengagungkan bahasa kita iaitu Bahasa Melayu . Realitinya keagungan yang kita ungkapkan itu hanyalah kata-kata dusta yang hanya bermain di bibir semata-mata. Jelasnya kita sendiri sebagai masyarakat penutur asli bahasa melayu yang merosakkan bahasa ibunda kita sendiri.


Memang kebanyakan dari kita hari ini memandang remeh akan perkara ini, tetapi cuba kita bayangkan dengan akal minda kita jika suatu hari kelak bahasa Melayu yang kita agungkan itu lenyap dek kesalahan kita sendiri disebabkan sesuatu yang kita pandang remeh pada hari ini. Renung-renungkanlah…..





Monday, January 17, 2011

KISAH TERCIPTA

Kisahnya bermula begini...Pada semester ini saya telah mengambil kursus Sosiolinguistik iaitu salah satu kursus wajib bagi setiap pelajar jurusan Bahasa Melayu. Ketika kuliah pertama kursus ini, kami diminta oleh pensyarah untuk menghasilkan laman blog bagi setiap individu. Blog tersebut haruslah dimuatkan dengan diari harian yang berkaitan dengan Sosiolinguistik. Oleh sebab itulah blog ini tercipta. 'Kata orang tak kenal maka tak cinta' jika kita hanya tahu menyebut sahaja istilahnya tetapi tidak tahu apa makna disebalik istilah indah itu tak guna juga bukan?.. jadi eloklah kiranya kita berkenalan dahulu dengan apa itu sosiolinguistik. 

Melalui hasil pembacaan yang saya perolehi daripada makalah-makalah tertentu dan juga internet, Sosiolinguistik merupakan bidang ilmu yang mengkaji kesan sebarang aspek masyarakat ke atas bahasa. Sosiolinguistik juga ialah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik ( disiplin yang meneliti bahasa). Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Bidang ini menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur yang mempunyai hubungan yang rapat antara kedua-duanya. 

Bidang sosiolinguistik juga adalah satu bidang yang membabitkan kajian bahasa dan masyarakat yang sangat luas cakupannya. Ia menumpukan bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Melalui bahasa manusia dapat berhubung, menyampaikaN buah fikiran dan perasaan. Dengan bahasa juga mereka dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagai anggota masyarakat. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi , sedikit sebanyak saya sudah mengetahui apa itu yang dikatakan Sosiolinguistik. 


Friday, January 14, 2011

Warkah Bicara....

       Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya blog ini dapat saya hasilkan juga walaupun masih terdapat banyak kekurangan dan ketidaksempurnaan. Jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi memberi tunjuk ajar dan menyumbangkan idea kepada saya dalam mencipta blog ini…….

Sejujurnya saya akui bahawa saya masih baru dalam bidang penghasilan blog. Inilah kali pertama saya menghasilkan blog saya sendiri. Oleh sebab itu, pastinya terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang harus saya perbaiki dari semasa ke semasa. Harap sahabat-sahabat sekalian dapat memberi tunjuk ajar kepada saya…Jasa kalian amatlah saya hargai….