Saturday, March 12, 2011

KFC

Situasi
Ketika pulang ke kampung  bersempena cuti tahun baru Cina yang lalu, aku berkesempatan berkunjung ke sebuah pasaraya yang berdekatan dengan tempat tinggalku. Aku tidak keseorangan ke sana tetapi ditemani oleh teman lelakiku bersama adik bongsuku yang kini umurnya telah mencecah lapan tahun.  Sebelum pulang kami membuat keputusan untuk mengisi perut di Restoran KFC yang berada di tingkat paling bawah. Adik bongsuku kelihatan seronok kerana sememangnya KFC merupakan makanan kesukaannya . Kelihatan ramai pengunjung dalam restoran tersebut  sedang menikmati juadah enak bersama keluarga, teman-teman, dan ada juga yang bersama pasangan kekasih. Setelah meminta pesanan, kami memilih sebuah meja yang berada di sudut hujung restoran tersebut kerana itulah satu-satunya meja kosong yang tinggal. Mungkin kerana hari itu adalah hujung minggu jadi tidak hairanlah ramai  pengunjung di tempat-tempat sebegini. Ketika sedang leka menikmati ayam yang masih panas lagi rangup dan amat menyelerakan itu, adik bongsuku tiba-tiba mengajukan satu soalan yang mungkin sudah lama  menjadi tanda tanya dalam dirinya. “ kak apa maksud KfC, kenapa tak panggil ayam goreng” mendengar pertanyaan adikku itu, aku dan temanku terus berpandangan dan tersenyum. Aku lantas menjawab “ KFC tu ayam gorenglah, tetapi disebut dalam bahasa Inggeris  Kentucky Fried Chincken. K untuk Kentucky, F untuk Fried dan C untuk Chicken. Penciptanya telah mengambil nama KFC tu bersempena huruf-huruf pangkalnya. Mendengar jawapanku itu, adikku terus mengangguk dan terbit dari mulutnya perkataan oooooo yang menandakan dia telah faham dengan penerangan ku tu. “tulah tau makan ja maksudnya tak tau” balasku. Kemudian kami bersama-sama ketawa melihat telatah adik kesayanganku itu.




                              
                                                                     
                                           
Tinta bicara 
Peristiwa ini membuatkan aku terfikir rupa-rupanya dalam kehidupan kita, banyak  istilah yang kita gunakan  hari ini hasil daripada proses pengakroniman  istilah  Inggeris sama ada dalam pertuturan harian, perhubungan dalam ‘sms’ atau laman sosial seperti ‘face book”. Mungkin kebanyakan kita tidak menyedari hakikat ini. Setiap golongan sama ada  tua, muda dan kanak-kanak  tahu mengujarkannya tetapi  tidak tahu kenapa disebut sebegitu dan apakah maksudnya. Banyak lagi istilah-istilah lain yang dicipta hasil daripada pengakroniman daripada istilah Inggeris contohnya:

                        VIP  = Very Important Person
                         OMG  = Oh  My God
                        POV   =  Point of view
                       KFC  =  Kentucky Fried Chicken
                        OTP  =  one true pairing
                       

DEKAT JAUH

Situasi
Tatkala jam menunjukkan angka 12.45, itu menandakan kuliah Semantik dan Pragmatik telah sampai ke penghujungnya.  Seperti kebiasaannya Encik Abdullah Yusuf iaitu pensyarah bagi subjek ini akan menamatkan kelas setengah jam atau lima belas  minit awal dari masa sebenar. Oleh kerana hari ini aku tiada kekangan atau sesuatu hal yang mengharuskan aku ke kampus, jadi aku dan teman terus sahaja pulang ke kolej kediaman. Setelah turun dari bas aku terus menuju ke pintu lif blok 3. Kulihat pada  sudut atas  pintu lif tertera angka 9. Timbul rasa menyampah apabila setiap hari harus melalui keadaan yang sama menunggu lif. Tambahan  ketika kepenatan setelah pulang dari kuliah. Memang tidak dapat aku nafikan  lif di blok tempat kutingal ini agak lembab berbanding lif di blok 1. Sementara menuggu lif bergerak dari aras 9 ke aras paling bawah iaitu ‘G’ , aku sempat melihat kertas-kertas iklan dan memo yang ditampal di sekitar pintu lif yang kebanyakannya mengandungi maklumat mengenai program-program yang akan dijalankan di kolej kediaman dan ada juga bertujuan untuk mempromosi sesuatu barangan. Sedang asyik melihat iklan-iklan tersebut aku terpandang pada papan tanda yang terdapat di tengah-tengah antara dua pintu lif yang menarik perhatianku ketika itu. Ini ialah papan tanda yang maksudkan:


                                                              

Tinta bicara
Cuba anda perhatikan. Mengapa papan tanda ini menjadi persoalan? Bukankah ayatnya itu menunjukkan ayat yang gramatis? Ya sememangnya tiada kesalahan ayat di situ kerana penggunaan ayatnya sugah gramatis. Tetapi jika anda perhatikan secara terperinci kesalahan di situ ialah dari aspek ejaan kata sendi ‘di’ pada kata kerja ‘larang’ yang dieja jauh. Sebenarnya bagi sesiapa yang tidak tahu, mengikut peraturan dalam rumus tatabahasa bahasa  Melayu, kata sendi ‘di’ apabila bertemu dengan kata kerja atau kata perbuatan haruslah didekatkan ejaannya. Manakala penggunaan kata sendi ‘di’ apabila bertemu dengan kata arah tau tempat hendaklah dieja secara terpisah. Contohnya seperti perkataan pada papan tanda berikut:


                                             
Untuk kita berbahasa Melayu dengan tepat bukan sahaja cara bertutur, sebutan  atau ayat yang dipentingkan , bahkan harus dilihat pada hukum tatabahasa terlebih dahulu yang menjadi dasar kepada sesuatu ayat yang kita tutur atau tulis. Hal ini harus diambil berat agar kesalahan sebegini dapat dielakkan.

GRAMATIS

Situasi
Hari ini aku ingin menceritakan satu situasi yang berlaku dalam kuliah Sosiolinguistik yang telah aku hadiri pada pagi tadi. Semasa sesi pembentangan kerja kumpulan diadakan salah sebuah  kumpulan telah ditegur  oleh pensyarah subjek ini iaitu Dr. Zulkifli Ayob mengenai satu perkataan yang terdapat dalam slaid yang mereka bentangkan. Perkataan tersebut ialah ‘ memandai’ seperti yang terdapat dalam paparan slaid di bawah ini. Dr. menyuruh salah seorang pembentang mencari perkataan lain yang bermula dengan huruf p dan menggabungkan dengan imbuhan awalan me- dan imbuhan akhiran –kan. Wakil kumpulan tersebut mengambil perkataan ‘pandu’ dan apabila diimbuhkan menjadi ‘memandu’. Menurut Dr. memang tepat kata dasar ‘pandu apabila diimbuhkan  akan menjadi memandu. Tetapi kata dasar ‘pandai’ apabila diberi imbuhan menjadi ‘memandaikan’ adalah salah dan tidak gramatis dalam konteks ayat yang mereka gunakan. Kesalah ini dapat dilihat dalam slaid di bawah ini:


                                                                

Tinta Bicara
Daripada situasi ini  jelaslah bahawa penggunaan sesuatu perkataan dalam sesuatu ayat yang kita ujarkan atau kita tulis haruslah dititikberatkan dari segi ketepatannya. Tidak semua kata dasar yang bermula dengan huruf boleh diimbuhkan dengan imbuhan awalan me- dan imbuhan akhiran –kan. Walaupun kadangkala perkataan yang kita gunakan itu betul dari segi ejaan, tatabahasa, atau sebutannya, namun kita harus melihat juga perkataan tersebut dalam konteks ayat. Penggunaan sesuatu perkataan dalam konteks ayat yang salah sekaligus bererti ayat tersebut tidak gramatis. 

KEKANDA ADINDA

Situasi
Terasa kekeringan idea ketika ini. Apakah yang ingin aku perkatakan dalam blog diari aku kali  ini. Hari ini rasanya tiada situasi mengenai bahasa yang menarik perhatianku untuk kukongsikan dalam blog ini. Sementara memikirkan idea untuk kumuatkan, aku mengisi kebosanan ini dengan sebuah lagu yang telah kumuat turun pada bulan lepas. Lagu berjudul kekanda adinda nyanyian Atilia dan Monoloque begitu menarik perhatianku. Sedikit sebanyak lagu ini dapat menghilangkan rasa bosan dan menghiburkan hatiku ketika ini. Mendengar lirik lagu ini telah membuahkan idea  mengenai ragam bahasa untukku kongsi dalam blogku kali. Di bawah ini aku ada sediakan video klip untuk anda hayati.


                                                                                  




Tinta Bicara
Lirik dalam lagu ini sangat indah dan lunak bahasanya.  Istilah ‘kekanda’ dan ‘adinda’ yang digunakan pada judul dan lirik lagu ini sebenarnya yang menarik perhatianku kerana istilah itu sendiri mempunyai nilai sentimen tersendiri yang menggambarkan kasih sayang dalam sesuatu ikatan. Kata ganti diri ini biasanya digunakan oleh masyarakat dahulu dalam perhubungan kekeluargaan. Dalam masyarakat hari ini penggunaannya sudah jarang didengar melainkan digunakan dalam  lirik lagu atau surat kiriman tidak rasmi. Namun jika dihayati  istilah ini begitu indah dan mesra didengar. Dengan itu jelaslah dalam berbahasa sama ada secara dalam  lisan mahupun tulisan,  sesuatu istilah yang digunakan kadangkala mampu menonjolkan unsur keindahan yang tersendiri.



INTERLOK

Situasi
Situasi berlaku ketika aku sedang menyediakan bahan-bahan untuk memasak nasi goreng tengah hari tadi. Bahan-bahan  dan peralatan untuk memasak ku sediakan di atas meja seperti sayur, pisau, papan pemotong  dan tidak lupa sehelai surat khabar lama untuk ku alas agar sisa sayur yang ku potong nanti tidak bersepah di atas meja. Inilah bahan-bahan yang ku sediakan sebelum memasak:
                         
                                                                          
                                                                                            
Sedang asyik memotong aku terpandang pada judul yang tertera pada surat khabar yang kujadikan alas tadi. Sila lihat pada judul yang tulisannya bersaiz besar tersebut:





INTERLOK dan kasta. Melihat ayat ini aku teringat  kembali kepada satu majlis diskusi ilmu yang telah aku hadir dua minggu yang lalu di perpustakaan UPSI. Majlis ini sungguh menarik kerana selain memperoleh ilmu aku jua memperoleh beberapa pengajaran yang boleh dijadikan panduan. Diakhir pembentangan majlis tersebut, beberapa orang diberi peluang untuk bertanya dan memberi pendapat mengenai perbincangan mengenai novel interlok yang telah dibentangkan oleh beberapaorang pembentang. Majlis tersebut menjadi semakin hangat apabila terdapat beberapa orang pelajar daripada kaum India menyuarakan rasa tidak senang mereka mengenai isu kasta iaitu penggunaan istilah ‘paria’ dalam novel tersebut yang dianggap telah menghina kaum mereka.

Tinta bicara
Berdasarkan situasi ini, pengajaran yang boleh kita lihat di sini ialah penggunaan istilah sebenarnya boleh memberi implikasi besar kepada pengguna bahasa. Di sini  kita dapat lihat betapa berkuasa dan berpengaruhnya sesuatu istilah yang digunakan. Oleh itu penggunaan sesuatu istilah haruslah difikirkan terlebih dahulu sebelum digunakan dengan sewenang-wenangnya. Mungkin sesetengah masyarakat memandang sesuatu istilah yang digunakan itu remeh dan tidak memberi apa-apa kesan, tapi bagi sesetengah golonga pula penggunaan istilah tersebut mungkin boleh mengganggu sensitiviti mereka.oleh itu pengajaran di sini ialah  sebelum mengeluarkan sesuatu kata atau bahasa kajilah terlebih dahulu kesannya dan gunakanlah bahasa yang baik dari segenap aspek sama ada istilah, tatabahasa atau ayat kerana bahasa yang baik melambangkan bangsa yang bermaruah. Bahasa jugalah yang menyatukan kita semua.

BARU KUTAHU

                                                         

Situasi
Siang tadi aku telah ke Rawang untuk bertemu sahabatku. Semasa aku aku berada di dalam perut komuter untuk menuju ke sana, aku telah dipertontonkan  dengan satu situasi yang berkaitan dengan penggunaan bahasa. Kisahnya bermula begini  setelah beberapa minit  menunggu kehadiran komuter di stesen kereta api Tanjung Malim , akhirnya komuter tiba dan aku terus bergegas masuk ke dalam perut komuter tersebut. Aku memilih kerusi yang berada paling hujung komuter tersebut. Selang beberapa minit selepas itu, muncul  dua orang gadis dari arah pintu belakang komuter tersebut. dari segi penampilan dan lenggok  mereka, aku pasti mereka juga pelajar UPSI sepertiku. Lagi pula mereka juga naik di stesen yang sama denganku. Memang menjadi kebiasaannya pada hujung-hujung minggu, pelajar di sini akan menghabiskan masa cuti mereka dengan bersiar atau membeli belah di Kuala Lumpur. Mereka memilih tempat  duduk bersebelahan dengan kerusi yang ku duduk itu. Agak kuat mereka berborak tetapi aku tidak tahu apa yang diborakkan mungkin menyambung kembali topik yang mereka borak semasa menunggu komuter  sebentar tadi. Yang aku pasti dari loghat yang mereka gunakan itu, mereka mungkin berasal dari negeri-negeri sebelah selatan kerana bunyinya seperti dialek kuala lumpur. Sebelum komuter bergerak kelihatan seorang lelaki datang ke arah mereka dan tersenyum melihat salah seorang antara mereka sambil menegurnya “hang nak pi mana wey tak balik Kedah ka minggu ni?” “ aku nak pi kl la, aku tak balik kot ada reja sikit. Hang pulak nak pi mana?” soal gadis itu kembali. Setelah mendengar perbualan antara mereka baru ku tahu rupanya salah seorang daripada gadis tersebut berasal dari Kedah bermakna sama negeri dengan negeri yang amat kucintai.


                                                         

Setelah tiba di stesen Rawang, aku dan penumpang-penumpang lain bergegas turun. Sementara menunggu rakanku datang menjemput, aku duduk di salah sebuah kerusi yang tersedia di situ. Selang dua buah kerusi yang ku duduk kelihatan seorang mak cik tua yang berpakaian seperti golongan tua yang biasa kita lihat. Berbaju kurung dan bertudung litup. Dia tersenyum kepadaku,aku terus membalas senyumannya. Kemudian dia bertanya kepadaku dengan nada yang mesra “ tunggu siapa nak” “saya tunggu kawan mak cik, mak cik pulak nak gi mana?”soalku kembali. “ mak cik nak balik rumah, tengah tunggu suami mak cik” jawapnya dengan penuh sopan. Sebelum kami meneruskan perbualan, datang seorang perempuan muda sambil tersenyum kepada mak cik tersebut. “ eh cikgu, lama tak jumpa. Cikgu  apa khabar? Cikgu nak pergi mana ni?” ujar perempuan muda  tersebut dengan begitu ramah.  Mendengar kata sapaan yang digunakan oleh perempuan muda tersebut, baru ku tahu rupanya mak cik yang aku borak tadi adalah sorang guru. Mungkin bekas guru kepada perempuan muda tadi.


                                                             

Tinta Bicara
Daripada dua situasi yang berlaku hari ini,  sesuatu yang dapat aku jelaskan di sini ialah bahasa bukan sahaja menjadi medium perhubungan antara kita, malah bahasa juga bertindak sebagai unsur yang dapat digunakan sebagai asas untuk menentukan kedudukan seseorang dalam masyarakat. Jika kita mendengar perbualan di antara dua orang, cara mereka menggunakan bahasa bukan saja memperlihatkan hubungan antara mereka berdua tetapi juga mengenai latar belakang masing-masing. Daripada jenis bahasa, pilihan kata, terutama penggunaan kata ganti nama dan dan kata-kata dialek, serta gaya percakapan, dapat kita membuat beberapa kesimpulan terhadap kedua-dua orang tersebut, iaitu dari  segi umur, hubungan antara mereka dan tempat asal. Di sini bahasa sudah memainkan peranan  sebagai sumber maklumat tentang pengguna-penggunanya. Daripada kata-kata yang digunakan kita dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang seseorang itu, termasuk hubungan dengan orang-orang yang dilawan bercakap.  Bahasa dalam konteks ini menjadi alat bagi pendengar mengenali dengan lebih dalam orang yang sedang bercakap. Bagaimana dia bercakap dan apa yang dipercakapkan akan dapat memberi maklumat tentang dirinya. Bagaimana dia menyebut bunyi-bunyi tertentu, bagaimana dia menyusun frasa dan ayat tertentu serta jenis perbendaharaan kata yang digunakan dapat menunjukkan dari daerah mana dia berasal, dan jenis pendidikan yan g telah diterimanya. Juga, daripada yang dicakapkan seseorang dapat meneka sikap dan pendiriannya, pekerjaannya, dan berbagai aspek latar belakangnya. Ringkasnya, bahasa yang digunakan telah memberi keterangan tentng orang yang menggunakannya. Kesimpulannya, sebenarnya terdapat banyak fungsi bahasa selain sebagi alat perhubungan. Tetapi kadangkala fungsi-fungsi bahasa ini tidak begitu disedari oleh pengguna-penggunanya. Aspek-aspek ini menjadi antara bidang yang dicakupi oleh sosiolinguistik. 

BURUNG BERTUTUR

Situasi
Baru-baru ini aku  telah berkunjung ke rumah ibu saudaraku  yang terletak di Segambut Kuala Lumpur. Itulah kali pertama aku menjejak kaki ke rumah barunya.Sebelum ini ibu saudaraku menetap di Cheras. Ketika aku tiba di rumahnya aku begitu tertarik dengan satu situasi di mana terdapatnya seekor burung tiung peliharaan jiran sebelah rumahnya yang mampu berkata-kata. Dengan jelas aku dapat mendengar tutur kata burung tersebut menggunakan kata-kata seperti berikut:





Hai apakhabar apakhabar                                                                
Buat apa buat apa
Apa apa
Hello Selamat Petang








Tetapi istilah yang digunakan agak terhad. Burung tersebut lebih banyak mengulang istilah-istilah yang sama kepada manusia yang dilihatnya. di samping itu Burung tersebut juga lebih gemar meniru dan mengulang perkataan yang diujar manusia kepadanya. Namun aku agak teruja dengan situasi tersebut, aku hairan bagaimana seekor haiwan mampu berkata-kata seperti manusia walaupun bicaranya agak terhad dan tidak menggunakan bahasa Melayu dengan tepat. Menurut kata ibu saudaraku burung tersebut telah diajar dan dilatih oleh tuannya sejak kecil.
                   
Tinta bicara
Sesuatu bahasa mampu diperoleh atau dikuasai melalui  persekitaran. Contohnya haiwan yang dilatih bertutur dengan menggunakan  bahasa Melayu oleh tuannya akan bertutur menggunakan bahasa seperti yang dilatih oleh tuannya itu. Begitu juga dengan kanak-kanak akan  menguasai bahasa yang yang ditiru daripada pertuturan ibu bapa atau keluarganya. Walaupun ada sesetengah  haiwan mampu bertutur seperti manusia, namun terdapat kekurangan dan perbezaan yang tidak dapat menandingi bahasa pertuturan manusia. Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah mengenai sifat yang ada pada bahasa. Salah satu sifat bahasa itu alah bersifat manusiawi. Bahasa manusia adalah milik manusia. Bahasa adalah suatu aktiviti manusia dan bukannya aktiviti makhluk lain. Hanya manusia yang boleh berbahasa dengan tepat. Walaupun diketahui ada juga haiwan yang mampu mengeluarkan bunyi seperti manusia umpamanya monyet, burung, dan orang utan, tetapi ternyata bahasa manusia lebih baik kerana keupayaan manusia untuk mencantumkan bunyi-bunyi itu menjadi suku kata. Hal ini tidak berlaku kepada haiwan. Banyak haiwan boleh dilatih menutur bahasa manusia seperti burung kakak tua, tetapi haiwan seperti itu hanya boleh menutur sahaja tetapi tidak boleh menggunakan bahasa dalam konteks yang betul seperti man manusia.