Showing posts with label Bahasa. Show all posts
Showing posts with label Bahasa. Show all posts

Sunday, March 13, 2011

WARGA BERBUDI BAHASA

Situasi
Hari ini aku dan beberapa orang teman  telah ke sekolah Menengah Slim River untuk menjalankan rancangan pengajaran makro. Sampai di sana kami terus ke bilik pengetua untuk memberitahu akan kehadiran kami. Selepas itu kami terus menuju ke bilik guru yang telah kami sedia maklum kerana pada minggu sebelumnya kami telah ke sekolah tersebut  untuk memohon kebenaran pengetuanya. Pada mulanya aku agak risau memikirkan bagaimana layanan guru-guru di situ terhadap kami. Sampai di bilik guru kulihat ada beberapa orang guru yang sedang membuat kerja mereka dan beberapa lagi sedang berborak sesama mereka. Melihat kehadiran kami mereka terus melemparkan senyuman kepada kami bersama sapaan mesra. Akhirnya terubat  kerisauanku . Ketika kami sedang berjalan menuju ke kelas, kuperhatikan pelajar-pelajar di sekolah itu mempunyai budaya murni dalam diri mereka. Apabila terserempak dengan kami dan guru-guru lain, ucapan salam pasti meniti di bibir-bibir mereka bersama senyuman. Aku dan teman  masing-masing memuji budaya yang ditunjukkan oleh warga sekolah ini. Sesungguhnya aku akui warga sekolah ini telah terlatih dengan budaya mesra, sopan santun dan baik bahasanya.

                   

Tinta bicara
Sifat ramah mesra dan penggunaan bahasa yang sopan  seperti memberi salam sesama manusia amat dituntut dalam agama kita. Penggunaan bahasa yang mesra  dan bersopan dengan siapa sahaja kita bertutur walaupun tidak mengenalinya sebenarnya dapat mewujudkan pandangan atau persfektif positif terhadap masyarakat lain. Di samping itu bahasa yang mesra juga boleh membuatkan orang lain menyenangi diri kita. Orang yang mempunyai nilai baik ini dalam diri sentiasa dihormati dan disukai oleh pihak lain. Oleh itu amalkanlah menggunakan bahasa yang baik dengan sesiapa dan di mana sahaja kita bertutur untuk keharmonian dan kebaikan  kita bersama.



Saturday, March 12, 2011

PAPAN TANDA

Situasi                                                             
Aku telah diberitahu oleh rakan-rakan bahawa Tambun adalah salah sebuah destinasi percutian yang sangat seronok.  Menurut rakan-rakan yang pernah bercuti ke sana, di dalamnya terdapat pelbagai permainan air, mini zoo dan kolam air panas hasil ciptaan manusia. Daripada keseronokan yang digambarkan oleh mereka membuatkan keinginanku untuk ke sana semakin ketara.  Pada minggu yang lalu, keinginanku ini telah tercapai apabila insan tersayang telah membawaku ke sana. Walaupun kami berdua tidak pernah menjejaki kaki ke sana tetapi alhamdullillah dengan berpandukan papan tanda yang disediakan  di sepanjang jalan raya, kami berjaya sampai ke sana dengan mudah tanpa mengalami sebarang kesulitan atau kesesatan.
                                            
                                                             


Tinta bicara
Bahasa ialah satu bentuk komunikasi, sama ada bercakap, bertulis atau menggunakan simbol. Berdasarkan  situasi yang saya paparkan tadi, sebenarnya saya ingin menjelaskan bahawa simbol atau tulisan yang terdapat pada papan tanda juga merupakan sejenis bahasa komunikasi. Seringkali kita perhati pada papan-papan tanda yang mengandungi simbol atau tulisan yang hanya menggunakan ayat-ayat yang ringkas yang kebiasaannya  dilihat di sepanjang jalan raya atau tempat-tempat awam lain. Biasanya maksud yang ingin disampaikan melalui papan tanda atau simbol-simbol ini   dapat difahami   oleh pengguna walaupun tidak dinyatakan dalam bentuk lisan atau tulisan yang menggunakan ayat yang lengkap dan gramatis. Contohnya yang paling jelas untuk kita lihat ialah penggunaan lampu isyarat di jalan raya. Pernahkah anda melihat lampu isyarat yang tertulis padanya warna hijau  menandakan anda boleh berjalan, warna kuning anda harus berjaga-jaga dan warna merah anda mesti berhenti. Pernahkah  maksud bagi warna-warna ini  disampaikan malalui rakaman suara atau audio? Tidak bukan? Walaupun tidak disampaikan secara lisan atau tulisan tetapi boleh difahami maknanya oleh setiap pengguna jalan raya melalui penggunaan simbol warna tersebut. Begitu juga dengan simbol-simbol lain   seperti arahan, larangan sebagai panduan kepada kita. Dengan itu jelaslah bahawa simbol juga tergolong dalam bahasa walaupun tidak disampaikan secara lisan atau tulisan asalkan ianya mampu memberi makna kepada manusia. 
                             






                            

GRAMATIS

Situasi
Hari ini aku ingin menceritakan satu situasi yang berlaku dalam kuliah Sosiolinguistik yang telah aku hadiri pada pagi tadi. Semasa sesi pembentangan kerja kumpulan diadakan salah sebuah  kumpulan telah ditegur  oleh pensyarah subjek ini iaitu Dr. Zulkifli Ayob mengenai satu perkataan yang terdapat dalam slaid yang mereka bentangkan. Perkataan tersebut ialah ‘ memandai’ seperti yang terdapat dalam paparan slaid di bawah ini. Dr. menyuruh salah seorang pembentang mencari perkataan lain yang bermula dengan huruf p dan menggabungkan dengan imbuhan awalan me- dan imbuhan akhiran –kan. Wakil kumpulan tersebut mengambil perkataan ‘pandu’ dan apabila diimbuhkan menjadi ‘memandu’. Menurut Dr. memang tepat kata dasar ‘pandu apabila diimbuhkan  akan menjadi memandu. Tetapi kata dasar ‘pandai’ apabila diberi imbuhan menjadi ‘memandaikan’ adalah salah dan tidak gramatis dalam konteks ayat yang mereka gunakan. Kesalah ini dapat dilihat dalam slaid di bawah ini:


                                                                

Tinta Bicara
Daripada situasi ini  jelaslah bahawa penggunaan sesuatu perkataan dalam sesuatu ayat yang kita ujarkan atau kita tulis haruslah dititikberatkan dari segi ketepatannya. Tidak semua kata dasar yang bermula dengan huruf boleh diimbuhkan dengan imbuhan awalan me- dan imbuhan akhiran –kan. Walaupun kadangkala perkataan yang kita gunakan itu betul dari segi ejaan, tatabahasa, atau sebutannya, namun kita harus melihat juga perkataan tersebut dalam konteks ayat. Penggunaan sesuatu perkataan dalam konteks ayat yang salah sekaligus bererti ayat tersebut tidak gramatis. 

INTERLOK

Situasi
Situasi berlaku ketika aku sedang menyediakan bahan-bahan untuk memasak nasi goreng tengah hari tadi. Bahan-bahan  dan peralatan untuk memasak ku sediakan di atas meja seperti sayur, pisau, papan pemotong  dan tidak lupa sehelai surat khabar lama untuk ku alas agar sisa sayur yang ku potong nanti tidak bersepah di atas meja. Inilah bahan-bahan yang ku sediakan sebelum memasak:
                         
                                                                          
                                                                                            
Sedang asyik memotong aku terpandang pada judul yang tertera pada surat khabar yang kujadikan alas tadi. Sila lihat pada judul yang tulisannya bersaiz besar tersebut:





INTERLOK dan kasta. Melihat ayat ini aku teringat  kembali kepada satu majlis diskusi ilmu yang telah aku hadir dua minggu yang lalu di perpustakaan UPSI. Majlis ini sungguh menarik kerana selain memperoleh ilmu aku jua memperoleh beberapa pengajaran yang boleh dijadikan panduan. Diakhir pembentangan majlis tersebut, beberapa orang diberi peluang untuk bertanya dan memberi pendapat mengenai perbincangan mengenai novel interlok yang telah dibentangkan oleh beberapaorang pembentang. Majlis tersebut menjadi semakin hangat apabila terdapat beberapa orang pelajar daripada kaum India menyuarakan rasa tidak senang mereka mengenai isu kasta iaitu penggunaan istilah ‘paria’ dalam novel tersebut yang dianggap telah menghina kaum mereka.

Tinta bicara
Berdasarkan situasi ini, pengajaran yang boleh kita lihat di sini ialah penggunaan istilah sebenarnya boleh memberi implikasi besar kepada pengguna bahasa. Di sini  kita dapat lihat betapa berkuasa dan berpengaruhnya sesuatu istilah yang digunakan. Oleh itu penggunaan sesuatu istilah haruslah difikirkan terlebih dahulu sebelum digunakan dengan sewenang-wenangnya. Mungkin sesetengah masyarakat memandang sesuatu istilah yang digunakan itu remeh dan tidak memberi apa-apa kesan, tapi bagi sesetengah golonga pula penggunaan istilah tersebut mungkin boleh mengganggu sensitiviti mereka.oleh itu pengajaran di sini ialah  sebelum mengeluarkan sesuatu kata atau bahasa kajilah terlebih dahulu kesannya dan gunakanlah bahasa yang baik dari segenap aspek sama ada istilah, tatabahasa atau ayat kerana bahasa yang baik melambangkan bangsa yang bermaruah. Bahasa jugalah yang menyatukan kita semua.

TIKET UNTUK SI DIA MENGGATAL

Situasi
Minggu ini kolej kediamanku telah menganjurkan satu pesta buku yang bertempat disekitar kolejku sendiri. Banyak gerai dibuka yang pastinya akan menggembirakan pelajar-pelajar disini. Sesuatu yang menghairankanku ialah kebanyakan gerai tersebut lebih didominasi oleh gerai-gerai pakaian, tudung, beg dan sebagainya yang lebih kepada barangan wanita berbanding gerai buku walaupun pada dasarnya pesta ini adalah pesta buku. Mungkin ini adalah satu cara bagi menarik pengunjung datang ke pesta tersebut. Semasa pesta ini berlangsung, aku dan dua orang  teman  tidak ketinggalan untuk  mengunjungi pesta ini. Memandangkan kami tidak lama lagi disini kerana pada semester depan kami akan  menjalani praktikum di sekolah, jadi kami mengambil peluang yang ada untuk menikmati kemeriahan di kolej kediaman selagi kami masih menjadi penghuni di sini. Boleh dikatakan setiap gerai kami kunjungi walaupun tidak membeli barang tetapi cukup  menghiburkan sekadar melihat-lihat barangan yang dijual beserta ragam-ragam manusia. Gerai terakhir kami kunjungi pada malam itu ialah sebuah kedai yang menjual kain kurung dan tudung muslimah yang berada berdekatan dengan kafe. Kain-kain disitu nampaknya agak cantik. Aku dan teman memilih-milih kain yang menarik hati masing-masing. Kelihatan seorang lelaki muda di dalam gerai tersebut dan  aku pasti dia adalah pemilik gerai itu. Sambil memegang sepasang kain yang mungkin telah menjadi pilihan hati, temanku bertanya akan penjual kain tersebut.

                                                            

A  : bang  kain ni harganya berapa sehelai?
B  : (tersenyum sambil menjawab dengan nada yang lembut) rm 15 je dik
B  : tapi kalau adik beli 3 helai abang kasi rm 50 je
A : buat ape nak beli banyak-banyak. Satu cukup lah.
B  : belilah boleh kasi mak sehelai. Tak pun kongsilah dengan kawan-kawan.
       Lagi pun kain ni cantik kalau adik-adik ni pakai mesti lagi cantik.
A  : ayat tak bleh blah nak suruh orang beli lah tu
B  : eh tak de lah. Betul abang cakap.



                                               
                                          

Akhirnya kawanku hanya membeli sehelai sahaja. Sebelum kami beredar dari gerai tersebut, penjual tadi sempat menyuruh kami menyampaikan salam kepada ibu di kampung.

Tinta bicara
Kebiasaannya, penjual akan menggunakan ritorik pemujukan bagi melariskan jualan mereka. Pelbagai kata-kata manis diujarkan termasuklah kata-kata pujian. Namun pada kali ini aku bukanlah ingin membicarakan mengenai aspek ritorik, tetapi aku tertarik untuk berkongsi mengenai kata sapaan atau panggilan yang digunakan oleh temanku. Kata sapaan ‘abang’ yang digunakan itu membuatkan aku teringat kembali kata-kata Prof. Ameritus Abdullah Hassan dalam ucapannya bersempena majlis  Wacana Ilmu Bahasa Melayu Tinggi yang telah berlangsung pada minggu lepas. Dalam ucapannya, beliau turut membincangkan mengenai salah satu aspek  penting  yang menjelaskan cirri bahasa melayu tinggi iaitu mengenai bentuk sapaan. Istilah sapaan ini dikatakan oleh Za’ba sebagai pemadan taraf.  Menurut beliau adalah sesuatu yang salah dan boleh dianggap maha biadap sekiranya kita menggunakan kata sapaan atau gelaran dengan sewenang-wenangnya kepada  seseorang tidak kira dimana  atau dengan siapa sahaja kita bertutur tanpa mengetahui status atau pangkat yang disandang seseorang itu. Maha biadap yang dimaksudkan ialah kadangkala kata sapaan abang atau kakak yang kita gunakan kepada seseotang eperti kita telah menyama tarafkan orang tersebut dengan diri kita. Bagaimana sekiranya orang yang kita gelar abang itu merupakan seorang  ‘dato’? biadap bukan? Sebaiknya kita bertutur dengan menggunakan bahasa melayu tinggi dengan mengujarkan kata sapaan kepada seseorang yang kita tidak kenali dengan panggilan encik, tuan atau saudara. Panggilan abang atau kakak adalah salah sebenarnya dipanggil kepada mereka yang bukanlah mempunyai ikatan kekeluargaan dengan kita walaupun kadangkala sapaan ini nampak lebih mesra. Begitu juga jika seorang wanita menggelarkan kepada seorang lelaki yang tidak dikenalinya dengan panggilan ‘abang’ yang nampaknya kurang manis. Menurut kata Prof. Ameritus Abdullah Hassan panggilan ini ‘abang ‘ ini sebenarnya telah memberi ‘tiket’ atau peluang untuk kaum ini menggatal. Oleh itu untuk mengelakkan perkara ini amalkanlah penggunaan bahasa Melayu tinggi apabila berbicara. Gunakanlah panggilan saudara atau encik.Walaupun ianya nampak agak formal tetapi itulah yang terbaik demi kebaikan bersama.



MUDAH SENANG CEPAT

Situasi
Hari ini teman serumahku menyatakan keinginannya untuk memasak spageti untuk insan yang disayangi. Dia juga menyatakan rasa gembiranya kerana  bahan-bahan masakan yang dicari akhirnya  ditemui juga walaupun telah beberapa kedai yang dicarinya kehabisan bahan-bahan tersebut.  Dari raut wajahnya aku dapat lihat kegembiraan dan kesungguhannya untuk menyediakan juadah tersebut. Pada  malam itu kulihat  banyak juga bahan yang dibeli, katanya ingin masak lebih agar aku dan teman-teman yang lain juga boleh menikmati bersama. Pada keesokan harinya ketika aku keluar dari kamar tidur kulihat temanku itu telah menyediakan  bahan-bahan yang dibelinya untuk dimasak.

                                             

seketika kemudian kulihat raut wajahnya seperti ada sesuatu kesulitan. Belum sempat aku menyoal, dia menunjukkan tin sos kimbal dan tin iaitu antara bahan yang akan digunakan untuk memasak. Aku tidak mengerti apa yang dimaksudkan. Sekali lagi dia menunjukkan tin tersebut dengan riak muka seperti orang yang mempunyai masalah. Aku sekali lagi tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan wajah yang penuh tanda tanya. Lantas aku menyolnya :

Aku  : kenapa dengan tin tu?
Aida : ni ha macam na nak bukanya? alat pembuka tin tak ada
Aku   : oooh kenapa tak cakap awal-awal, ko tunjuk isyarat pada tin je, mana aku faham.
Aida  : saje je aku ingat kau dah faham.
                                                            
                                             
Tinta Bicara
Apakah penggunaan bahasa dalam peristiwa kecil ini? Secara kasar dapat dikatakan bahawa dengan penggunaan bahasa, seseorang dapat meluahkan apa yang ingin disampaikan. Tanpa penggunaan bahasa kadang-kala perkara ini dapat juga dilakukan, iaitu dengan  menyampaikan buah fikiran yang sama dengan menggunakan bahasa isyarat, dengan gerak-geri tangan atau kaki dan adakalanya buah fikiran itu juga  tidak difahami oleh orang lain, contoh dapat dilihat daripada situasi yang berlaku antara aku dan temanku. Tetapi buah fikiran itu dengan senang atau lebih senang dapat disampaikan melalui bahasa. Dengan melafazkan dua tiga ayat, serta dengan gerak badan yang sesuai, maksud dapat dinyatakan. Itulah salah satu fungsi utama  bahasa kita. Bahasa digunakan sebagai alat perhubungan, alat untuk menyatakan buah fikiran dan perasaan demi menjayakan aktiviti seharian. Penggunaan bahasa juga adalah untuk menyampaikan perasaan, contohnya perasaan gembira,sedih, terkilan dan sebagainya. Melalui kata-kata, dengan disertai nada suara tertentu, berbagai-bagai perasaan dapat disampaikan. Perasaan sedih, marah, kecewa, dan berbagai-bagai lagi. Bedasarkan peristiwa ini, dapat dijelaskan bahawa melalui bahasa, kita sebagai pengguna-pengguna bahsa dapat melahirkan apa yang terpendam dalam sanubari, menyampaikan perasaan-perasaan tertentu sama ada untuk meminta pertolongan, arahan  dan sebagainya untuk tujuan-tujuan tertentu.  

Monday, March 7, 2011

AYAM

Situasi
                                                       
Ayam bermacam ayam
                                                                       

Mungkin kalian akan mempersoalkan kenapa aku memilih judul blog pada kali ini berkaitan dengan seekor haiwan iaitu ayam. Apakah kaitannya dengan bahasa? Itulah yang akan aku kongsikan bersama kalian.Buat pengetahuan kalian ketika aku dan teman lain menaiki bas untuk ke kuliah pada pagi tadi, kami telah dihiburkan dengan sebuah lagu yang didendangkan oleh seorang penyanyi tanah air kita yang tidak asing lagi iaitu Jalil Hamid. Lagu yang didendangkan itu bertemakan seekor haiwan iaitu “ayam”. Apabila lagu tersebut mula dinyanyikan keadaan di dalam bas yang tadinya kelihatan muram dan sunyi bertukar ceria dengan hadirnya lagu yang menghibur hati itu. Aku cuba meneliti dan menghayati setiap bait-bait kata yang keluar dari corong radio bas tersebut.  Terasa begitu terhibur mendengar kalimat-kalimat pada lirik yang dicipta oleh penyanyi yang berbakat ini. 

Tinta bicara
Bagiku lagu yang diciptakan ini sungguh unik  dan aku akui pada bakat  dan kebijaksanaan penciptanya itu. Hal ini demikian kerana lagu ini bukan sahaja dapat menghiburkan hati pendengar, malah terdapat banyak unsur pengajaran dan pendidikan di dalamnya.Jika kalian hayati dan telusuri akan bait-bait kata-katanya terdapat banyak peribahasa dan pantang larang yang berguna kepada kita. Apa yang membuatkan aku begitu teruja dengan kepandaian pencipta lirik lagu ini ialah dengan berkisarkan seekor ayam, beliau berjaya mengolah idea menjadi sebuah lagu yang mengandungi isi yang bernas. Di samping itu, dengan bertemakan seekor ayam juga, beliau berjaya menghasilkan banyak peribahasa dan pantang larang seperti yang terkandung dalam lagu tersebut  yang sememangnya wujud dalam masyarakat Melayu yang telah dicipta oleh nenek moyang kita sejak zaman berzaman. Seperti yang kita tahu peribahasa dan pantang larang ini merupakan kata-kata kiasan yang indah dan disampaikan kepada masyarakat bagi melahirkan masyarakat yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berdisiplin tinggi bagi melahirkan sahsiah diri yang unggul. Keunikan bahasa kiasan inilah yang menampakkan bahasa Melayu lebih indah dan sesuai diterapkan dalam penulisan, pertuturan, puisi dan juga nyanyian agar kelihatan lebih menarik. Berikut merupakan lirik lagu ‘ayam’ yang mengandungi banyak peribahasa dan pantang larang yang berkisarkan seekor ayam. jika mahu lebih terhibur saksikan video klip lagu ayam di bawah ini.

           Lirik lagu ayam
           nyanyian Jalil hamid

Ayam..
Bermacam ayam
Ada ayam kampung, ayam hutan, ayam siam
ayam turki, ayam belanda
Ayam Hutan, boleh terbang
Ayam kampung dalamlah reban
Ayam bandar di dalam pasar
Ibu..
Si ibu ayam
Telor sebijik
Riuh sekampung
Kata bidalan, berkaki ayam
kalau makan, ajak-ajak ayam.
Kalau nak tidur, tidur-tidur ayam
Kalau tak nampak itu rabun ayam
Makan leher ayam nanti bersanding kepala teleng
Makan tongkeng ayam nanti mulut tak reti diam
Makan kepak ayam peha ayam dada ayam
Satu tak boleh makan jangan makan bulu ayam


                                                                     

Tuesday, February 22, 2011

BANYAK CANTIK KERJA KAMU

Situasi
Hari ini giliranku untuk membentangkan tajuk yang ku peroleh dalam Kuliah Semantik dan Pragmatik. Tajuk yang telah ku bentangkan ialah mengenai “makna tersirat”. Makna tersirat dapat diertikan sebagai makna yang diperoleh berbeza daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan . Makna tersirat juga merupakan makna lain daripada asalnya tetapi jika ditelusuri, ternyata ada hubungan atau kaitan antara sesuatu yang diujarkan itu. Di samping itu, makna tersirat juga dapat dikatakan sebagai makna yang terkandung atau tersembunyi yang tidak dapat dilihat secara langsung tetapi memerlukan si pembaca atau pendengar mentafsirnya menggunakan pemikiran dan penilaiannya sendiri. Contoh makna tersirat boleh didapati daripada ayat tersebut,

“Banyak cantik kerja kamu”

Tinta bicara
Kata “cantik” dalam ayat tersebut tidaklah mendokong makna “indah” tau “lawa” . akan tetapi,  kata cantik tersebut mempunyai makna yang sebaliknya. Biasanya ayat sebegini dituturkan oleh seseorang majikan kepada pekerjanya atau ibu kepada anaknya untuk menyindir akan kualiti kerja yang kurang baik, tidak bermutu atau tidak tersusun. Akan tetapi diujarkan dengan kata-kata yang berlawanan dari maksud sebenar yang ingin disampaikan agar pendengar dapat menilai sendiri akan apa yang dimaksudkan oleh penutur. Bila direnung-renung semula, sebenarnya dalam pertuturan harian kita sebenarnya banyak menggunakan makna tersirat. Contohnya pernahkah ibu kalian memarahi atau menyindir kalian atau ahli keluarga yang lain apabila mereka lewat bangun dari tidur dengan  menggunakan ayat sebegini,

“ Amboi awal bangun hari ni!”


                                                   

Perkataan awal di situ jelas menunjukkan makna tersirat yang ingin disampaikan oleh penutur yang berlawanan  daripada apa yang diujarkan. Makna tersirat juga dapat dilihat dalam peribahasa Melayu.contohnya, “Bagai pinang dibelah dua” yang mengandungi makna tersirat iaitu pasangan pengantin yang sama cantik atau secocok. Jika dilihat secara kasar tiada kaitan antara pinang dengan pengantin. Tetapi jika ditelusuri secara terperinci  ternyata ada hubungannya. Hal ini menunjukkan dalam peribahasa seperti kiasan, bidalan dan sebagainya mengandungi makna tersirat  yang memerlukan pendengar menilainya dengan akal sendiri. Berdasarkan pengetahuan yang saya peroleh ketika pembentangan hari ini, dapat saya simpulkan bahawa dalam  kita berbahasa, bukan sahaja ianya dapat  disampaikan secara tersurat atau secara berterus terang yang boleh ditanggapi oleh pendengar secara langsung, malah kadangkala kita juga sering menggunakan bahasa tersirat ketika bertutur dimana apa yang ingin kita jelaskan berbeza atau berlawanan daripada apa yang kita ungkapkan. Bahasa tersirat digunakan dalam pertuturan adakalanya bertujuan menyindir atau menegur sesuatu tingkah laku yang kurang baik supaya si pelaku dapat menilai sendiri apa yang ditutur melalui bahasa yang mengandungi makna tersirat dan dapat mengubah tingkah laku ke arah yang lebih baik. 




bagai pinang dibelah dua

BERCOUPLE BERDATING BERPOSING

Situasi
Kehadiran teman baik ke rumahku pada petang itu telah mencetuskan satu situasi berkaitan ragam bahasa yang ingin aku kongsi bersama kalian semua. Setelah aku dan temanku selesai berbincang mengenai tugasan, rakanku melangkah ke sudut balkoni yang terletak di sebelah luar rumahku. Aku lantas menjejaki langkah temanku itu. Dari sudut  tersebut kami dapat melihat pemandangan  luar dari atas yang sangat menenangkan perasaan. Dari situ kami juga dapat melihat  pelbagai ragam pelajar  sedang beriadah pada petang itu . Ada yang sedang berjoging, ada yang bermain badminton, ada yang sedang berborak dan sebagainya. Sedang memerhati ragam pelajar di bawah, kami terpandang pada gelagat seorang wanita dan seorang lelaki yang barangkali mereka adalah sepasang kekasih.  Kelihatan mereka sedang berborak sambil bergambar. Sesekali kelihatan gelak tawa mesra antara mereka. Berikut adalah dialog antara kami setelah melihat ragam pasangan tersebut:

“Amboi seronok sungguh kekasih tu berdating, siap berposing lagi” ujar sahabatku. “ ha jeleslah tu, tu la bercouple dengan orang jauh lagi, kalau hang cari orang dekat boleh hang berdating hari-hari macam depa tu” balasku menggunakan dialek negeri tercinta.


                                                      
 
                                                     
Tinta bicara
Pernahkah kalian menggunakan istilah-istilah yang berwarna merah seperti dialog di atas. Berdating , bercouple, berposing?Apakah pendapat kalian mengenai istilah-istilah ini? Diringkaskan cerita apa yang ingin aku kongsikan di sini ialah penggunaan imbuhan dalam bahasa melayu yang digabungkan dengan istilah Inggeris. Seperti yang kita sedia maklum imbuhan dalam bahasa Melayu  merupakan sebuah bahasa aglutinatif di mana imbuhan diletakkan pada kata akar untuk mengubah fungsi kata tersebut dalam ayat atau menukar ertinya kepada sesuatu yang berkaitan dengan kata akar itu. Imbuhan dalam bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan awalan, imbuhan akhiran, imbuhan apitan dan imbuhan sisipan. Tetapi kebanyakan daripada kita pada hari ini menyalahgunakan imbuhan  yang bertujuan mengubah fungsi sesebuah kata akar kepada merojakkan imbuhan tersebut dengan mencantumkan ia dengan istilah-istilah Inggeris. Hal ini telah menyebabkan berlakunya kecurangan bahasa. Namun disebabkan sikap kebiasaan berbahasa demikian, kita melihat penggunaannya sebagai sesuatu yang mudah, betul dan enak diujarkan dalam perbualan harian. Sedangkan sebenarnya imbuhan yang kita cantumkan bersama  istilah Inggeris itu bukanlah bahasa ibunda kita. Oleh kerana wujudnya “kebiasaan” inilah menyebabkan bahasa Melayu kian tercemar dek kesalahan kita sendiri. Oleh itu dengan adanya akal minda yang dianugerahkan oleh tuhan, sama-samalah kita renungkan mengenai masalah ini.

APA YANG LUCU SANGAT


situasi
Hari ini saya terpanggil untuk memaparkan kisah mengenai peribahasa. Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta dan ada juga sesetengan pihak yang sesuka hati mereka mengubahsuai peribahasa asal kepada peribahasa yang mengandungi unsur humor untuk menarik minat pembaca. Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing  dengan memasukkan peribahasa moden yang bersifat janggal, lucu dan tidak menepati maksud di sebalik peribahasa yang dicipta. Oleh yang demikian, keindahan dan nilai pengajaran yang terdapat pada peribahasa asal akan lenyap dek perbuatan masyarakat yang mementingkan keuntungan semata-mata. Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan dan penyelidikan terhadap makna yang terkandung di dalamnya.
 Berbalik kepada tujuan asal blog ini ditulis, sebenarnya  di sini aku ingin menceritakan satu situasi yang berlaku ketika aku pulang ke kampung pada cuti semester baru-baru ini. Pada petang itu, aku berasa sangat bosan kerana tiada sebarang aktiviti menarik untuk kulakukan. Oleh kerana itu aku mengambil keputusan mengajak adik bongsuku ke perpustakaan desa yang terletak tidak jauh dari rumahku. Ketika aku leka mencari beberapa buah novel untukku kaji sebagai tugasan bagi subjek Modal insan, aku dikejutkan oleh suara tawa adikku yang  berada sudut hujung perpustakaan tersebut. Lantas aku meletakkan jari telunjuk pada bibirku sebagai amaran terhadap tingkahlaku adikku itu. Mujur pada petang itu hanya kami berdua yang mengunjungi perpustakaan. Jika tidak pasti pekerja di situ akan marah atas perbuatan bising adikku yang  boleh menganggu orang lain menelaah buku. Sambil menjinjing dua buah novel, aku segera mendapatkan adikku.
“Apa yang lucu sangat, nasib tak ada orang, kalau tak dah kena marah dengan kak perpustakaan tu” marahku sambil mataku beralih ke arah pekerja perpustakaan tersebut yang hanya tersenyum padaku. Lantas aku membalas senyumannya. “ ala tak apa kak tu baik lagi pun dia kenal adik, ni kak cuba baca majalah ni tentang peribahasa. Lucu peribahasa rekaan terbaru” bicara adikku sambil menghulurkan buku tersebut kepadaku. Aku segera mengambil majalah tersebut pada tangan adikku itu. Ku lihat pada halaman kulit majalah tersebut,kulitnya jelas kelihatan bahawa majalah  tersebut keluaran lama. “oh patutlah lucu sangat majalah ujang rupanya” suaraku. Aku selak pada helaian yang dimaksudkan oleh adikku itu. Ada situasi dialog yang digambarkan menggunakan kartun dan diselitkan dengan beberapa peribahasa yangdireka  dengan mengubah suai peribahasa asal oleh penulis bagi menampakkan kesan lucu. Tujuan peribahasa tersebut dicipta bagi menarik dan menghiburkan pembaca. Ini adalah antara peribahasa yang aku maksudkan.

  • ·         Alang-alang mencelup pekasam biar sampai ke ketiak masam.
  • ·         Tidak lari gunung dikejar, jika tidak kejar sekalipun gunung tetap tidak boleh berlari.
  • ·         Carik-carik bulu ayam lama –kelamaan bogel si ayam.
  • ·         Sudah jatuh ditimpa tangga tercium tahi ayam pula.
  • ·         Bersatu kita teguh, bercerai kita kawin lain. 



ujang
                                                            
Tinta bicara
Setelah membaca dialog yang diselitkan dengan peribahasa-peribahasa ini aku jua turut tersenyum. Masyarakat kita sekarang terlalu “pintar” sehingga mampu mengubahsuai peribahasa asal sedemikian rupa sehingga berjaya menghasilkan jenaka kepada pembaca terutama bagi golongan kanak-kanak. Namun  persoalan yang timbul di benak hatiku, adakah mereka memikirkan kesan daripada pengubahsuaian tersebut yang tentunya boleh menghilangkan keindahan terhadap kata-kata kiasan yang telah diciptakan oleh nenek moyang terdahulu. Peribahasa atau kata-kata indah yang dicipta oleh nenek moyang terdahulu atau ahli-ahli bahasa sebenarnya banyak mengandungi unsur-unsur pengajaran dan pendidikan untuk disampaikan kepada masyarakat. Namun disebabkan ada segelintir daripada masyarakat kita yang memandang remeh akan keadaan ini, mereka dengan sewenang-wenangnya memanipulasi peribahasa demi mengaut keuntungan. Kesan daripada masalah ini juga akan menyebabkan kanak-kanak khususnya terpengaruh menggunakan peribahasa  yang telah rosak dan tercemar ini dalam pertuturan harian mereka. Lebih teruk lagi mereka mungkin akan menggunakannya dalam penulisan karangan di sekolah. Disebabkan keadaan ini unsur-unsur pengajaran yang terselit pada peribahasa ini tidak lagi bermakna sebaliknya unsur keseronokan pula yang mengusai  sesebuah peribahasa. Oleh itu kita sebagai masyarakat melayu hari ini haruslah mengelakkan perkara ini dari terus berlanjutan. Marilah kita bersama-sama memartabatkan keindahan bahasa yang telah  diwarisi oleh masyarakat Melayu sejak zaman berzaman  yang mengandungi banyak pengajaran  dan dapat memberi impak  dan kesan yang mendalam kepada pendengar. Hal ini bertujuan untuk  melahirkan generasi yang tinggi nilai keperibadian dan mementingkan norma-norma kehidupan.
Justeru itu tunjang utama yang menjamin keutuhan sesebuah bangsa ialah perlestarian dan penghargaan terhadap tinggalan tradisi yang menjadi identiti bagi melahirkan masyarakat yang terus  berpijak pada akar budaya dan nilai-nilai yang luhur.  Lantaran menyedari hakikat ini maka sebagai generasi yang cinta akan warisan Melayu tinggalan nenek moyang kita perlulah memelihara dan mempertahankan warisan tradisi ini daripada terus suram dan tenggelam dimamah zaman.





Wednesday, January 19, 2011

PENCEMARAN


Situasi
Situasi ini berlaku ketika aku dan teman karibku Munira sedang berjalan-jalan di persekitaran “Karnival KHAR”  yang diajurkan oleh kolej kediamanku. Banyak gerai dibuka dengan perbagai jualan seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Sedang kami berjalan-jalan “menjamu mata” dari sebuah gerai ke sebuah gerai, aku terpandang sebuah gerai yang menjual beg tangan wanita. aku mengajak temanku pergi ke gerai tersebut kerana memang niatku untuk mencari beg untuk aku gunakan ke kuliah. Ketika melangkahkan kaki ke dalam gerai tersebut aku sempat mendengar perbualan antara pekedai dan tiga orang gadis yang aku kira mereka juga adalah pelajar seuniversiti denganku. Ini adalah dialog perbualan antara mereka yang sempat menebusi corong gegendang pendengaranku ketika itu.

Gadis 1     : Aku rasa better kau pilih handbag ni..lagi cantik.
Pekedai    : Ha pilih dik..pilih…jangan segan-segan. Adik beli satu beg, abang  
                      kasi free satu lagi  beg,beg   plastik.
Gadis 2     : haha…ala plastik bag tak payah cakap lah bang. Bang tak de  
                     discount ke,  kitorang share beli banyak ni.
Pekedai    : tak boleh la dik, dah murah dah tu.. kalau discaunt lagi boleh  
                      bankrupt lah  abang.

Gadis 3     : ala bang just discoun t sikit je lagi..

Pekedai    : ok lah adik punya pasai abang kasi discount.  RM 23 untuk satu 
                     beg.

Gadis 2     : ha camtu lah. thanks you bang…hehehe


Tinta Bicara
 Terasa sedih bila mendengar Bahasa Melayu yang kita cintai itu kian tercemar dari sehari ke sehari. Seperti yang kita sedia maklum, hari ini isu mencampur- adukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain terutama bahasa Inggeris sudah menjadi kelaziman bagi segenap lapisan masyarakat kita, bukan sahaja pada golongan kanak-kanak  malah golongan berpendidikan juga tidak lari dari melakukan kesilapan ini.  Daripada situasi di atas jelas golongan pendidik sendiri menggunakan bahasa rojak ketika bertutur. Apakah pandangan masyarakat luar terhadap perkara ini.


Aku bukanlah mahu menuding jari kepada sesiapa, malah aku akui aku sendiri juga sering mengeluarkan tutur bicara sedemikian rupa. Merojak, sekaligus merosakkan bahasa sendiri. Kebanyakan dari kita menganggap perbuatan menyelitkan istilah-istilah Bahasa Inggeris khususnya ketika bertutur adalah sesuatu yang bergaya dan bijak berbicara. Sebaliknya itulah kesilapan besar yang kita lakukan. Sedarlah perbuatan kita itu sebenarnya telah memperkecil, menghina dan mencemuh bahasa kita sendiri. Seringkali kita mengungkap kata-kata manis seperti “ Bahasa Jiwa Bangsa”, “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Cerminan Bangsa” dan seumpama dengannya sebagai bukti kita sangat mengagungkan bahasa kita iaitu Bahasa Melayu . Realitinya keagungan yang kita ungkapkan itu hanyalah kata-kata dusta yang hanya bermain di bibir semata-mata. Jelasnya kita sendiri sebagai masyarakat penutur asli bahasa melayu yang merosakkan bahasa ibunda kita sendiri.


Memang kebanyakan dari kita hari ini memandang remeh akan perkara ini, tetapi cuba kita bayangkan dengan akal minda kita jika suatu hari kelak bahasa Melayu yang kita agungkan itu lenyap dek kesalahan kita sendiri disebabkan sesuatu yang kita pandang remeh pada hari ini. Renung-renungkanlah…..