Tuesday, February 22, 2011

MAHU SINGKATKAN ATAU RINGKASKAN


Situasi
Penggunaan singkatan ejaan  dalam penulisan bukan sahaja dapat dilihat dengan ketara  pada golongan pelajar sekolah, malah pelajar-pelajar universiti sendiri  turut  menjadi kebiasaan menggunakan singkatan dalam penulisan mereka. Contoh satu situasi yang  berlaku di dalam kuliah Semantik dan Pragmatik pada hari ini, seramai tujuh orang pelajar mengikut giliran  masing-masing  telah membentangkan tugasan mengenai tajuk yang mereka peroleh pada paparan slaid di hadapan kelas.  Berdasarkan slaid yang dibentangkan  saya dapati kebanyakan daripada mereka menggunakan singkatan perkataan dalam penulisan slaid tersebut. Contoh perkataan yang telah disingkatkan dan dapat saya lihat pada slaid yang dibentang pada hari itu ialah:

SINGKATAN EJAAN
EJAAN YANG BETUL
Dgn
Yg
Lsn
Btk
1
Bhs
Rpt
Bdg
Ujrn
Akn
&
Dengan
Yang
Lisan
Bentuk
Satu
Bahasa
Rapat
Bidang
Ujaran
Akan
Dan

Tinta bicara
Kebanyakan kita pada hari ini memilih jalan yang lebih mudah dan ringkas dalam segala tindakan termasuklah dalam penulisan sama ada penulisan rasmi atau sebaliknya contohnya dapat dilihat pada situasi yang saya paparkan di atas. Seperti yang kita sedia maklum, tujuan hal demikian  dilakukan adalah untuk menjimatkan ruang pada slaid yang dibentangkan. Tetapi perkara ini sebenarnya akan membawa implikasi buruk iaitu akan wujudnya satu sifat yang dipanggil ‘kebiasaan’ dalam diri untuk menggunakan singkatan dalam penulisan sama ada penuliasan rasmi atau tidak rasmi. Lebih mengecewakan apabila slaid yang dibentangkan itu adalah subjek pendidikan bahasa Melayu.  Sebagai bakal guru pendidikan bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar-pelajar sekolah nanti seharusnya kita mengelakkan diri daripada menggunakan  singkatan dalam penulisan.  Hal ini dapat  menjadi contoh kepada pelajar agar mereka akan  menulis sesuatu penulisan dengan betul sepertimana yang dilakukan oleh guru.
Punca sebenar berlakunya kependekan atau penyingkatan perkataan yang kian parah terhadap penulisan pelajar-pelajar sekarang sama ada pelajar sekolah atau pelajar universiti adalah kesan daripada penggunaan telefon bimbit menerusi sistem pesanan ringkas atau “SMS ". Sistem pesanan ringkas ataupun SMS (Short Message Service) adalah satu perkhidmatan yang ditawarkan melalui telefon bimbit untuk mengirim atau menerima pesanan pendek. Disebabkan lambat dan kesulitan menulis  di samping  mahu menjimatkan ruang,  pesanan SMS  akan diringkaskan. Langkah meminimumkan bahasa ketika berhubung dengan SMS sememangnya tidak dapat ditolak kerana ruang yang disediakan terhad.  Saya yakin semua pemilik telefon bimbit menggunakan bahasa ringkas ketika berhubung melalui SMS. Penggunaan bahasa singkatan itu  sebenarnya tidak salah jika hanya digunakan ketika berhubung melalui SMS. Walaubagaimanapun masalah yang timbul sekarang ialah bahasa SMS  ini terbawa-bawa ke dalam penggunaan rasmi sehingga merosakkan bahasa. Malah penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan tertentu secara meluas itu dikatakan punca kemerosotan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dan pelajar. Jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi  dengan ragam bahasa basahan, pencemaran bahasa akan berlaku. Oleh kerana itu  kita tidak sepatutnya terikut-ikut dengan ragam bahasa basahan hingga menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti karangan, surat menyurat, memo dan sebagainya. Malah, antara sebab kemerosotan pencapaian kelulusan Bahasa Melayu peperiksaan awam juga dikatakan berpunca daripada budaya perkhidmatan SMS dan sembang Internet dalam kalangan pelajar. Ramai calon menggunakan singkatan perkataan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau SMS. Kadang-kala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu. Berikut merupakan singkatan perkataan yang sering digunakan dalam SMS:

Bahasa SMS
Bahasa baku
X
Tidak/tak
4
Untuk/for
Cmna
Macam mana
Yg
Yang
U
awak
Tq
Terima kasih
Askum
assalamualaikum
Sume
semua
Korg
Kamu semua
Pas2
Selepas itu
Chat
sihat
Ok
baiklah


Remaja kini, telah melupakan bahasa ibunda sendiri iaitu bahasa Melayu . Mereka lebih minat untuk memilih bahasa sms dan bahasa asing sebagai bahasa ibunda mereka. Apakah dengan menggunakan bahasa SMS ini akan menjadikan bahasa Melayu menjadi maju dan bersifat dinamik? Masyarakat Melayu khususnya remaja semakin leka dan dibuai dengan kemajuan teknologi dan arus pemodenan. Bahasa Melayu yang indah semakin lama semakin lemah dan dipermainkan. Kita seharusnya menghormati dan menjunjung tinggi martabat bahasa Melayu.

kesimpulan daripada masalah ini, semua pihak haruslah memikul tanggung jawab dan berusaha  mengelakkan bahasa rasmi  daripada tercemar oleh pengaruh bahasa SMS yang kian menular dalam masyarakat dan pelajar-pelajar kita pada hari ini.Guru sebagai pendidik seharusnya memberi penekanan kepada pelajar supaya tahu membezakan antara bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi. Pelajar sendiri juga harus peka dengan penggunaan bahasa rasmi yang betul dan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya bahasa SMS yang boleh merosakkan bahasa sekali gus menjejaskan keputusan peperiksaan mereka. Jika  dari sekarang pelajar-pelajar  atau generasi pelapis ini tidak dilatih dan diterapkan menggunakan bahasa yang betul sama ada dalam bidang lisan mahupun tulisan, siapa lagi yang akan meneruskan perjuangan mengangkat martabat Melayu kecuali masyarakat yang menuturkannya. Kita seharusnya maju dan terus maju kehadapan tanpa mencemarkan bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan Negara kita sendiri.








Monday, February 21, 2011

AKU DISINDIR

Situasi
Jam menunjukkan pukul 7.50 malam. Setelah selesai menunaikan solat maghrib aku mengambil keputusan untuk berehat sebentar sebelum mahu menyambung kembali tugasan sajakku yang terbengkalai sejak seminggu lalu akibat terlalu sibuk dengan tugasan lain. Lantas aku berbaring di atas katil empukku  sambil menggapai  sebuah novel berjudul ‘seketul hati seorang pemimpin’ hasil tulisan salah seorang sasterawan tanah air kita yang tidak asing lagi  iaitu Shahnon Ahmad. Setelah beberapa helaian berjaya menembusi bebola mataku, tanpa disedari aku mula terlelap barangkali  itu tandanya keletihan telah mencapai tahap maksimum setelah seharian berkuliah. Selepas lima belas minit aku diulit mimpi, tidurku telah diganggu oleh suara deringan yang aku pasti datangnya dari arah telefon bimbit milikku. Dengan perasaan yang begitu malas akibat dikuasai rasa mengantuk aku menggagahi jua mencapai medium perhubungan tersebut. Aku lihat pada skrin yang tertera nama insan yang amat kukasihi iaitu “papa”. Lantas aku pekapkan telefonku ditelinga dan mula berkomunikasi:
 
aku    : walaikumsalam. ada apa mak.
mak   : tak dak pa. kak dok buat apa tu? 
aku    : baru bangun tidoq.
mak   : amboi anak dara ni tak elok tidoq waktu maghrib. sembahyang dak lagi?
aku    : sembahyang dah tadi. tak sengaja la mak letih sangat tadi.
mak   : sembahyang dah tak pala. kak jadi balik dak sabtu ni? kata nak p jitra, umah kebajikan
aku    : tak tau lagi. tak dapat kata putus lagi dengan kawan-kawan.
mak   : hala apa-apa hal jadi ka dak ka, kak tepon la mak balik.
aku    : hala. ayah dok buat apa mak?
mak   : dok tengok tv. tak kan dok tidoq plak kot awai lagi ni.
aku    : hehe. mak tu nak sindir kak latu.
mak   : dak ashhhh. awat kak terasa ka. tulah sapa makan cili dia rasa pedas.hehehe
aku    : hehehehehe

Tinta bicara
“Siapa makan cili dia akan merasa pedasnya” berikut merupakan kata-kata sindiran yang sering digunakan oleh masyarakat kita bertujuan menyindir atau menegur sesuatu perbuatan yang dianggap kurang baik atau kurang sopan. Banyak lagi kata-kata sindiran digunakan. Namun ada kalanya kata-kata sindiran juga bertujuan untuk  bergurau senda atau  mengenakan seseorang bagi menceriakan sesuatu komunikasi. Biasanya hal ini berlaku dalam komunikasi antara dua pihak  yang mempunyai hubungan yang lebih rapat dan mesra umpama keluarga atau teman karib. Namun awas kata-kata sindiran juga kadangkala boleh menyakiti hati insan lain walaupun kata-kata sindiran tergolong dalam sejenis bahasa yang mengandungi unsur-unsur pengajaran, pendidikan dan nasihat. Disamping itu, kata-kata sindiran juga digunakan  untuk memberi teguran secara lebih berhemah agar pelaku tidak terguris hati atau tersinggung berbanding dituturkan secara berterus terang. Namun begitu pihak yang yang menyindir haruslah bijak menilai dahulu kesesuaian waktu, keadaan dan orang yang disindir bagi mengelakkan berlakunya ‘masam muka’ antara kedua-dua belah pihak. Hal ini kerana kadangkala kata-kata sindiran juga boleh disalah ertikan. Apa yang ingin  dijelaskan disini ialah kata-kata sindiran adalah salah  satu ragam bahasa yang turut digunakan dalam masyarakat kita. Ada kebaikan dan keburukan  penggunaan  kata-kata ini dalam sesuatu interaksi bersesuaian dengan makna tersirat yang ingin disampaikan oleh penutur itu sendiri. Namun terpulang kepada kebijaksanaan penutur tersebut memilih kesesuaian dari semua aspek sebelum kata tersebut diujarkan.

TILAM, TILAM, TILAM

Situasi
 Idea untuk aku menulis blog mengenai ragam bahasa kali ini berlaku ketika aku berada di kampung pada cuti semester baru-baru ini. Ketika sibuk memasak di dapur, aku dikejutkan dengan satu suara laungan yang begitu jelas kedengaran melalui corong pembesar suara yang digunakan. Suara dan kalimat yang digunakan sememangnya telah disedia maklum oleh seluruh penduduk kampungku akan tujuan kedatangannya. Hal ini  kerana  pada setiap bulan jika tidak salah perhitunganku, pemilik-pemilik suara tersebut akan mengelilingi kampungku menggunakan lori sambil melaung-laungkan kalimah-kalimah manis bagi melariskan hasil penjualan mereka. Ayat-ayat yang dilaung-laungkan itu kadangkala sudah dapat dihafal oleh penduduk kampungku terutama bagi golongan kanak-kanak yang seringkali meniru atau mengikut kembali kata-kata tersebut apabila mendengar penjaja-penjaja itu melaung-laungkan kalimat yang sama setiap kali kedatangan mereka ke kampungku . Mungkin kalian juga pernah mendengar ayat-ayat retorik  penjaja tersebut yang berbunyi begini:

Tilam, tilam, tilam
Tilam lama tukar tilam baru
Mari abang, mari kakak
Mari beli tilam baru
Jangan segan jangan malu
Beli satu percuma satu
Tilam, tilam, tilam

Ulasan
 Retorik merupakan seni pemakaian bahasa untuk menyampaikan idea dengan menarik dan berkesan dalam sesuatu wacana baik dalam bentuk ucapan mahupun tulisan. Ritorik juga menggunakan bahsa yang indah bertujuan menarik perhatian khalayak. Untuk menghasilkan sesuatu wacana yang mantap, seseorang penghasil wacana perlu menggunakan retorik yang sesuai dengan wacana tersebut. Bagi situasi di atas penjaja tilam tersebut telah menggunakan retorik pemujukan. Retorik jenis ini sememangnya bersinonim dengan bidang perniagaan yang bertujuan mempengaruhi pembeli.

Pernahkah anda dipujuk atau diwarwarkan dengan kebaikan sesuatu barangan oleh penjual contohnya barangan kosmetik, ubat-ubatan, pakaian atau sebagainya? Mungkin ada antara kalian yang pernah mengalami situasi ini bukan? Tujuan pemujukan ini dilakukan adalah untuk mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan di samping bertujuan memainkan emosi pembeli. Dengan memanipulasikan emosi pembeli, penjual atau penghasil wacana berharap pendirian pembeli akan berubah lalu bertindak mengikut kehendak penjual.  Bagi menjayakan misi mereka ini, ritorik pemujukan yang digunakan biasanya akan mementingkan kehalusan berbahasa dengan menyelitkan unsur-unsur psikologi pembeli. Bahkan ada juga antara peniaga yang turut membandingkan kebaikan dan keburukan seseuatu barangan dengan berangan yang lain bertujuan untuk melariskan barangan yang dijual mereka. Di sini jelas menunjukkan dalam berbahasa kadangkala  penggunaan ritorik amat penting agar apa yang ingin disampaikan lebih berkesan dan menarik. Tetapi retorik yang digunakan haruslah bersesuaian dengan situasi atau tujuan yang ingin disampaikan. Seseorang yang menggunakan ritorik juga haruslah menguasai bahasa dengan baik di samping tahu akan perkara  yang ingin disampaikan. Hal ini harus dititik beratkan supaya sesuatu penyampaian itu lebih berkesan dan tujuan sebenar  tercapai.

Sunday, January 23, 2011

UNIKNYA.....

Situasi
Assalamualaikum...hari ini aku mahu cerita mengenai dialek. Dialek dapat diertikan sebagai suatu bentuk bahasa yang berbeza daripada bahasa standard. variasi bahasa ini digunakan dalam satu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial tertentu. Berbeza daripada bahasa baku yang digunakan dalam situasi rasmi, dialek digunakan dalam situasi-situasi lain yang tidak rasmi seperti dalam perhubungan kekeluargaan dan pergaulan harian.

 Berbalik kepada tajuk utama aku iaitu dialek, hari ini aku telah belajar beberapa istilah menggunakan dialek kelantan daripada teman-teman serumahku..Memandangkan teman-teman serumahku lebih  ramai  terdiri daripada rakyat negeri Kelantan jadi aku mengambil peluang yang ada ini untuk menambah ilmu. Sebelum ini apabila mereka berbual  menggunakan dialek negeri kelantan, aku hanya terdiam dan tercengang. aku tidaj berani mencelah kerana aku sendiri tidak memahami apa yang mereka bicarakan. Kadang-kala aku terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya agar sedikit sebanyak aku dapat memahami apa yang mereka bicarakan.  Kadang kala pula aku akan meminta mereka mengulang kembali apa yang mereka katakan menggunakan bahasa melayu baku. Selepas itu pasti aku akan ditertawakan. Tanpa jemu teman-temanku akan menterjemah kembali setiap perkataan yang tidak ku fahami. Ini adalah antara perkataan yang berjaya aku muatkan dalam kotak ingatanku:

Dialek kelantan
Bahasa baku
seqho
ngacik kuku  
koqhe 
be 
ore 
ula 
tino
kuba 
mokte 
tepoh 
mitok 
gode 
kijo 
punoh 
ghocoh 
puyok 
spita 

Terasa
pengepit kuku
Pemarut kelapa
azan
orang
 ular
 perempuan
 kerbau
rambutan
 langgar
 mintak
 pukul
 kerja
 rosak
 gaduh
 periuk
 hospital



Tinta Bicar
 Malaysia  adalah sebuah nergara yang  sungguh unik,  terdapat pelbagai masyarakat yang menggunakan dialek  yang berbeza-beza. Setiap dialek yang dituturkan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tidak menjadi kesalahan kita menggunakan dialek dalam percakapan tetapi haruslah sesuai pada tempatnya. Contohnya jika dalam pertuturan harian gunalah dialek yang lebih menyelesakan kita, tetapi dalam situasi rasmi adalah lebih baik kita menggunakan bahasa Melayu baku. Walau apa sekalipun dialek yang kita guna hari ini, bahasa Melayu tetap menjadi bahasa kebangsaan yang harus kita martabatkan.




Thursday, January 20, 2011

PELIK BETUL...


Situasi 


Hari ini ketika aku leka mencuci pakaian, kedengaran satu suara jeritan memberi salam “assalamualaikum,assalamualaikum” “waalaikumussalam” jawapku sopan. Belum sempat aku membuka pintu, terjengul satu wajah wanita yang tidak ku kenali di  satu sudut   membasuh baju yang agak terbuka."eh tolong buka pintu boleh tak” pintanya tanpa ada secalit pun senyuman di wajah. “ “boleh-boleh sat na saya basuh tangan” jawapku menggunakan loghat utara. Dengan tergesa-gesa aku terus membuka pintu. Sejurus masuk ke dalam rumah dia terus melangkahkan kakinya menuju ke bilik air. Selepas menggunakan bilik air dia terus keluar dari rumahku. Tergamam  aku seketika melihat tingkahnya itu. “eh apa kena dengan Minah sorang ni, dah la arah aku buka pintu untuknya, senyum pun tak, dah tu guna bilik air tanpa minta kebenaran. Sepatah ucapan terima kasih pun tak ada. pelik betul. Ada juga manusia seperti ini.  ”getusku dalam hati.


Tinta bicara
      
Daripada peristiwa yang aku alami hari ini, ingin aku ingatklan diri aku sendiri dan rakan-rakan bahawa kita sebagai manusia yang hidup bermasyarakat haruslah mengamalkan budi bahasa dalam kehidupan seharian walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Tanpa budi bahasa sukar bagi kita untuk mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan. Tidak salah kiranya  kita meringankan mulut  memberi ucapan terima kasih kepada seseorang yang telah membantu kita walaupun dalam   sesuatu perkara yang kecil. Di samping itu gunakan bahasa pertuturan  yang sopan  kerana bahasa yang kita gunakan  melambangkan keperibadian kita. Jagalah kata-kata ketika bertutur supaya tidak menyinggung atau menyentuh hati orang lain. Bukankah dengan berbudi bahasa akan membuatkan orang lain menyenangi dan menyukai kita? Budi bahasa juga mencerminkan budaya sesebuah bangsa sepertimana slogan yang sering dilaungkan oleh kerajaan kita iaitu “Budi Bahasa Budaya Kita”. Oleh itu marilah kita sama-sama menanamkan nilai-nilai murni ini agar masyarakat kita pada hari ini lahir dari masyarakat yang bermoral tinggi.
senyum selalu

Wednesday, January 19, 2011

PENCEMARAN


Situasi
Situasi ini berlaku ketika aku dan teman karibku Munira sedang berjalan-jalan di persekitaran “Karnival KHAR”  yang diajurkan oleh kolej kediamanku. Banyak gerai dibuka dengan perbagai jualan seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Sedang kami berjalan-jalan “menjamu mata” dari sebuah gerai ke sebuah gerai, aku terpandang sebuah gerai yang menjual beg tangan wanita. aku mengajak temanku pergi ke gerai tersebut kerana memang niatku untuk mencari beg untuk aku gunakan ke kuliah. Ketika melangkahkan kaki ke dalam gerai tersebut aku sempat mendengar perbualan antara pekedai dan tiga orang gadis yang aku kira mereka juga adalah pelajar seuniversiti denganku. Ini adalah dialog perbualan antara mereka yang sempat menebusi corong gegendang pendengaranku ketika itu.

Gadis 1     : Aku rasa better kau pilih handbag ni..lagi cantik.
Pekedai    : Ha pilih dik..pilih…jangan segan-segan. Adik beli satu beg, abang  
                      kasi free satu lagi  beg,beg   plastik.
Gadis 2     : haha…ala plastik bag tak payah cakap lah bang. Bang tak de  
                     discount ke,  kitorang share beli banyak ni.
Pekedai    : tak boleh la dik, dah murah dah tu.. kalau discaunt lagi boleh  
                      bankrupt lah  abang.

Gadis 3     : ala bang just discoun t sikit je lagi..

Pekedai    : ok lah adik punya pasai abang kasi discount.  RM 23 untuk satu 
                     beg.

Gadis 2     : ha camtu lah. thanks you bang…hehehe


Tinta Bicara
 Terasa sedih bila mendengar Bahasa Melayu yang kita cintai itu kian tercemar dari sehari ke sehari. Seperti yang kita sedia maklum, hari ini isu mencampur- adukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain terutama bahasa Inggeris sudah menjadi kelaziman bagi segenap lapisan masyarakat kita, bukan sahaja pada golongan kanak-kanak  malah golongan berpendidikan juga tidak lari dari melakukan kesilapan ini.  Daripada situasi di atas jelas golongan pendidik sendiri menggunakan bahasa rojak ketika bertutur. Apakah pandangan masyarakat luar terhadap perkara ini.


Aku bukanlah mahu menuding jari kepada sesiapa, malah aku akui aku sendiri juga sering mengeluarkan tutur bicara sedemikian rupa. Merojak, sekaligus merosakkan bahasa sendiri. Kebanyakan dari kita menganggap perbuatan menyelitkan istilah-istilah Bahasa Inggeris khususnya ketika bertutur adalah sesuatu yang bergaya dan bijak berbicara. Sebaliknya itulah kesilapan besar yang kita lakukan. Sedarlah perbuatan kita itu sebenarnya telah memperkecil, menghina dan mencemuh bahasa kita sendiri. Seringkali kita mengungkap kata-kata manis seperti “ Bahasa Jiwa Bangsa”, “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Cerminan Bangsa” dan seumpama dengannya sebagai bukti kita sangat mengagungkan bahasa kita iaitu Bahasa Melayu . Realitinya keagungan yang kita ungkapkan itu hanyalah kata-kata dusta yang hanya bermain di bibir semata-mata. Jelasnya kita sendiri sebagai masyarakat penutur asli bahasa melayu yang merosakkan bahasa ibunda kita sendiri.


Memang kebanyakan dari kita hari ini memandang remeh akan perkara ini, tetapi cuba kita bayangkan dengan akal minda kita jika suatu hari kelak bahasa Melayu yang kita agungkan itu lenyap dek kesalahan kita sendiri disebabkan sesuatu yang kita pandang remeh pada hari ini. Renung-renungkanlah…..





Monday, January 17, 2011

KISAH TERCIPTA

Kisahnya bermula begini...Pada semester ini saya telah mengambil kursus Sosiolinguistik iaitu salah satu kursus wajib bagi setiap pelajar jurusan Bahasa Melayu. Ketika kuliah pertama kursus ini, kami diminta oleh pensyarah untuk menghasilkan laman blog bagi setiap individu. Blog tersebut haruslah dimuatkan dengan diari harian yang berkaitan dengan Sosiolinguistik. Oleh sebab itulah blog ini tercipta. 'Kata orang tak kenal maka tak cinta' jika kita hanya tahu menyebut sahaja istilahnya tetapi tidak tahu apa makna disebalik istilah indah itu tak guna juga bukan?.. jadi eloklah kiranya kita berkenalan dahulu dengan apa itu sosiolinguistik. 

Melalui hasil pembacaan yang saya perolehi daripada makalah-makalah tertentu dan juga internet, Sosiolinguistik merupakan bidang ilmu yang mengkaji kesan sebarang aspek masyarakat ke atas bahasa. Sosiolinguistik juga ialah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik ( disiplin yang meneliti bahasa). Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Bidang ini menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur yang mempunyai hubungan yang rapat antara kedua-duanya. 

Bidang sosiolinguistik juga adalah satu bidang yang membabitkan kajian bahasa dan masyarakat yang sangat luas cakupannya. Ia menumpukan bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Melalui bahasa manusia dapat berhubung, menyampaikaN buah fikiran dan perasaan. Dengan bahasa juga mereka dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagai anggota masyarakat. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi , sedikit sebanyak saya sudah mengetahui apa itu yang dikatakan Sosiolinguistik.